KUALA LUMPUR 4 MAC – KETUA jurulatih Selangor, B. Sathianathan mengakui, penyokong berhak merasa resah dengan prestasi Red Giants ketika ini dan menyerahkan masa depannya kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Bagaimanapun tegas Sathianathan, situasi yang menyelubungi Selangor ketika ini sedikit pun tidak menjatuhkan semangatnya, sebaliknya beliau mengambil perkara itu sebagai cabaran untuk mengembalikan keyakinan peminat.
Sejurus selepas Selangor tewas 2-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Super, Jumaat lalu, peminat mahu FAS mempertimbangkan untuk menukar jurulatih, malah beberapa laman web rasmi penyokong mengaitkan jawatan ‘panas’ Sathianatan dengan jurulatih asing yang pernah mewarnai Liga Malaysia (Liga M).

“Saya tidak bimbang (situasi direhatkan atau dipecat) dalam bola sepak seorang jurulatih perlu terima apa-apa hakikat. Banyak yang boleh bercakap tidak baik dan ada juga yang baik.
“Jika pengurusan sudah tidak perlukan khidmat saya, mereka boleh beritahu dan kita bincang. Saya ikut sahaja.
“Ini perkara biasa dalam bola sepak, terdapat penyokong yang mempunyai pendapat berbeza cuma yang negatif ramai sekarang kerana Selangor berada dalam kedudukan seperti ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambah Sathianathan, apa paling penting selagi memegang jawatan ini, beliau akan terus menjalankan tugas sebaik mungkin untuk kembali mendapat sokongan penyokong Red Giants.
Beliau juga sedar tugas berat bakal menanti sebaik sahaja menerima jawatan membimbing Selangor yang penuh dengan sejarah kegemilangan dalam kancah bola sepak Malaysia.
“Tugas saya dapatkan balik sokongan daripada penyokong tetapi paling penting kepercayaan dari pemain dan pengurusan.
“Saya pun tahu, Selangor pasukan besar dan mempunyai sejarah.
“Itu sejarah masih lagi sejarah dan kalau kita lihat pasukan yang betul-betul berada dalam keadaan stabil adalah pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pahang.
“Perak juara dan Terengganu finalis Piala Malaysia, turut berada di kedudukan tidak baik. Dengan banyak pertukaran pemain saya memerlukan masa,” ujarnya.
Antara jurulatih yang menjadi sebutan penyokong adalah bekas pengendali Kedah, Roman Marcote, Mario Gomez (JDT) dan pengendali skuad bawah 19 tahun negara, Bojan Hodak.
Selepas mengharungi lima perlawanan, Selangor menghuni tangga ketiga tercorot Liga Super dengan dua kekalahan dan tiga seri.











