BANGSA yang memahami dan menghargai hasil karya sasterawan bangsanya adalah bangsa yang maju dan bertamadun. Untuk memacu tamadun bangsa mestilah bermula dengan pembangunan akal budi bangsa dan masyarakatnya, diikuti pembangunan kota dan desa.
Ini bertepatan dengan pandangan tokoh Barat, Matthew Arnold yang mengatakan, sastera adalah cerminan kehidupan. Oleh itu, untuk melihat kehidupan sebenar sesuatu bangsa, bacalah hasil karya sasteranya yang ditulis oleh kalangan sasterawan bangsa tersebut.
Tokoh falsafah Yunani, Socrates pula menyatakan, akal itu tidak lain daripada alat bagi mencari kebenaran dan kenyataan dalam kehidupan. Lantaran itu, sastera adalah hasil pemikiran daripada akal dan budi yang memancarkan kebenaran dalam kehidupan sewajarnya dapat dibaca dan dimanfaatkan.
Untuk membangunkan akal budi bangsa, pendidikan sastera mestilah diperkukuhkan di peringkat sekolah rendah dan menengah serta di universiti sebagai akar tunjang bagi memahami kehidupan masa lalu dan menguatkan kehidupan pada masa akan datang.
Kuat atau jayanya sesuatu bangsa kerana akhlaknya yang boleh dibangunkan melalui hasil sastera. Selama manusia itu ada, selama itulah sastera sewajarnya memainkan pembangunan akal budi dan juga akhlak melalui hasil karya yang dihasilkan untuk bacaan umum.
Lantaran itu, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) yang berlangsung pada 27 Februari lalu wajar dipertahan dan diteruskan. Pihak swasta dan kerajaan juga seharusnya memberikan dana untuk meneruskan hadiah ini yang menghasilkan karya sastera bermutu tinggi untuk bacaan masyarakat.
Di samping itu, karya-karya sastera yang memenangi HSKU juga wajar dibukukan dalam bentuk e-buku untuk bacaan mereka yang melayari internet dan dapat disebar luas ke seluruh dunia sebagai hasil karya indah dan bernilai tinggi.
Indahnya hidup apabila karya sastera bernilai tinggi dapat dibaca oleh semua orang dalam era teknologi digital. Sastera dan ilmu yang ada dalam hasil karya sastera dapat dimanfaatkan sebagai panduan ke arah kejayaan dan tamadun bangsa.
Pembaca mendapat faedah dan keuntungan dengan membaca hasil karya sastera dengan mudah dan pantas. Ini juga dapat menambah pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam kehidupan melalui hasil karya sastera yang disampaikan dengan bahasa yang cantik dan indah.
Ia juga sewajarnya memberikan sumbangan baharu yang dapat dibaca dalam bentuk hasil karya sastera yang kreatif dan asli dengan memasukkan ilmu pengetahuan terkini. Perubahan masyarakat yang gemar membaca bahan dari internet dapat dimanfaatkan melalui karya sastera yang disampaikan.
Karya sastera juga tidak hanya dibaca oleh kalangan sasterawan dan peminat sastera, malah dibaca oleh semua orang dalam era teknologi digital. Justeru, sastera sewajarnya menguasai dunia digital dan bahan bacaan dapat dimanfaatkan dan dilayari dengan mudah di mana sahaja.
Sejarah sastera Melayu telah melalui liku-liku perjuangan yang panjang iaitu sebelum merdeka lagi sebagai hasil seni rakyat melalui Angkatan 50 dan sebelum itu melalui hasil karya seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan Misa Melayu serta karya berbentuk puisi seperti Gurindam 12. Selepas merdeka sastera menjadi bahan bacaan utama bagi membangun akal budi bangsa.
Teks sastera yang telah dinilai bermutu seperti karya pemenang HSKU dapat disebarkan dalam pelbagai bentuk termasuk buku, bahan pembelajaran di sekolah, bahan bacaan umum di internet dan juga deklamasi puisi dalam kehidupan masyarakat
Komunikasi antara penulis dan pembaca lewat tulisan membuka kemungkinan adanya hubungan jarak jauh antara kedua-dua belah pihak. Bahasa sastera yang indah akan memberikan sumbangan paling hakiki kepada pembaca untuk berbahasa santun dan indah serta berakal budi. Karya-karya hasil sasterawan negara sewajarnya dijadikan bahan bacaan dan rujukan di sekolah dan universiti.
Memetik pandangan Sasterawan Negara, Allahyarham Shahnon Ahmad, seorang sasterawan juga adalah seorang pejuang, kalau takut usahlah berjuang. Usahkan menjadi sasterawan konvensi, cukuplah menjadi sasterawan biasa sahaja.
Seorang lagi Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang pernah menyatakan, sasterawan juga adalah penyampai suara kemanusiaan daripada seorang pengarang di tengah-tengah kehidupan masyarakatnya. Sastera haruslah meliputi semua aspek kehidupan masyarakatnya secara meluas pada masa kini dan juga akan datang serta memaparkan duka lara bangsanya.
DR. AMINUDIN MANSOR ialah aktivis sastera.










