KUALA LUMPUR – Dua kakitangan dan seorang bekas pekerja syarikat Invoke Malaysia Sdn. Bhd. yang ditahan kerana memiliki sejumlah dadah di kondominium Taman Mutiara, Jinjang, kelmarin, didapati positif dadah jenis ganja.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, keputusan itu diperoleh hasil saringan air kencing yang dilakukan terhadap dua wanita dan seorang lelaki berusia antara 25 hingga 30 tahun.
“Siasatan awal mendapati dadah jenis ganja seberat 75 gram yang ditemui dalam serbuan itu dipercayai bagi kegunaan ketiga-tiga suspek berkenaan dan bukan untuk pengedaran.
“Siasatan lanjut berhubung kes itu sedang dijalankan dan kesemua suspek masih direman selama enam hari bermula 3 hingga 8 Mac ini mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program ‘High Profile Policing’ di sebuah pasaraya di Taman Midah, Cheras, hari ini.
Media melaporkan sebelum ini, polis menahan pegawai eksekutif pemasaran, pereka grafik dan bekas kakitangan sebuah firma penyelidikan milik Rafizi Ramli selepas menemui sejumlah dadah di sebuah unit kondominium di Taman Mutiara, Jinjang Ahad lalu.
Dalam perkembangan berasingan, Mazlan memberitahu, kertas siasatan berhubung kes penghuni asrama lelaki yang cedera akibat dipukul beberapa penghuni lain di sebuah asrama seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Jalan Sentul pada Rabu lalu sudah lengkap.
“Siasatan lengkap telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“Tiada tangkapan dibuat, namun tujuh individu termasuk dua suspek sudah dirakam keterangan,” ujarnya.
Jelas Mazlan, kes ini bukan kes buli, sebaliknya perselisihan faham kerana mangsa dikatakan mahu melaporkan tindakan suspek membawa rokok ke asrama berkenaan. – UTUSAN ONLINE











