PASIR GUDANG 16 Mac – Nasihat Menteri Besar, Datuk Osman Sapian supaya penduduk menutup pintu dan tingkap bagi mengelakkan udara dicemari toksik masuk ke rumah dibidas oleh beberapa suri rumah yang menyifatkan saranan itu sebagai tidak masuk akal.
Mereka tidak bersetuju dengan pandangan Osman kerana akan menyebabkan ahli keluarga ‘lemas’ dan tidak selesa ketika berada dalam rumah.
Aria Jaafar, 40, dari Cahaya Masai di sini berkata, sebenarnya masalah udara tercemar boleh diatasi sekiranya kerajaan negeri cepat bertindak.

“Isunya bukan perlu tutup pintu atau tingkap tapi kerajaan negeri lambat bertindak apabila pencemaran berlaku pada Khamis lalu.
“Jadi jangan menyalahkan rakyat apabila kejadian seperti ini berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Sebelum ini Osman berkata, penduduk di kawasan perumahan terbabit tidak terjejas dengan pencemaran toksik yang berlaku kerana rumah mereka mempunyai pintu yang boleh ditutup dan penduduk pula tidak keluar ketika siang hari.
Osman berkata demikian apabila ditanya wartawan sama ada penduduk di kawasan perumahan berhampiran dengan Sungai Kim Kim yang tercemar dengan bahan kimia tersebut perlu dipindahkan.
Seorang lagi suri rumah Zaleha Nagoor Ghani, 35, dari Taman Tanjung Puteri Resort berkata, saranan tutup pintu dan tingkap tidak relevan untuk dilaksanakan.
Dia berpendapat, cara tersebut tidak praktikal dan tidak menyelesaikan masalah sedia ada kerana udara tidak boleh disekat-sekat.
“Saya sendiri sudah mengalami cirit-birit semalam dan hari ini pula sudah muntah-muntah yang turut mengandungi buih putih,” katanya.
Bagi Norhanis Mohamed, 30, dari Bandar Bistari Perdana pula, tindakan cepat perlu dilakukan supaya udara tercemar tidak merebak dan keadaan menjadi lebih buruk.
“Kawasan rumah kami yang berdekatan lokasi Sungai Kim Kim turut menerima kesannya apabila mata pedih dan tekak loya mula dirasai saya dan ahli keluarga,” katanya.











