Rumah RIA RM69,000 - Utusan Malaysia

Rumah RIA RM69,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kajang – Al Ansar IBS (Al Ansar), syarikat perumahan yang terlibat dalam projek pembinaan rumah mampu milik dengan menggunakan inovasi Sistem Binaan Berindustri (IBS) mengunjurkan jualannya pada tahun ini bertambah kepada RM66 juta.

Pengerusi Eksekutif­nya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin (gambar kecil) berkata, unjuran itu bakal disumbangkan daripada jualan projek pembinaan Rumah Instant Al Ansar (RIA) di Malaysia sebanyak RM15 juta manakala bakinya sebanyak RM51 juta hasil projek pembinaan semula rumah mangsa gempa bumi di Lombok, Indonesia.

Al Ansar merupakan satu-satunya syarikat pemaju dari Malaysia yang terpilih bagi projek pembangunan rumah di kawasan terlibat gempa itu pada Ogos tahun lepas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Syarikat sedang mempromosikan projek rumah RIA yang ditawarkan pada harga RM69,000 seunit yang mana ia terdiri daripada rumah yang memiliki dua buah bilik dan satu bilik air.

“Rumah RIA di­sasarkan kepada golongan muda atau yang baru berkahwin untuk memiliki kediaman sendiri tetapi dengan syarat pe­langgan perlu memiliki sebidang tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di pejabat syarikat di Sungai Merab Luar di sini baru-baru ini.

Menurut Muhamad Khanafi, konsep rumah RIA diilhamkan daripada projek pembinaan rumah di Lombok yang dikenali sebagai Rumah Instant Tahan Gempa (RITA).

Selain itu, beliau menjelaskan, projek rumah yang berukuran kira-kira 55.74 meter persegi itu terbuka kepada semua pelanggan yang layak kecuali di Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu.

“Kami menawarkan harga serendah RM69,000 seunit ini terhad kepada 30 pembeli pertama sahaja berbanding harga RM79,000 di pasaran sebelum ini kerana pembinaan secara serentak akan memudahkan syarikat mendapatkan bahan binaan de­ngan kadar yang lebih rendah.

“Rumah ini boleh dijadikan sebagai ‘rumah ibu’ kepada pemiliknya kerana struktur dindingnya yang disambung menggunakan skru memudahkan proses ubah suai sama ada untuk membesarkan atau menambah ruang kepada rumah berkenaan.

“Pada masa depan, rumah tersebut boleh dibesarkan mengikut bajet pelanggan dan struktur dalaman rumah akan dikekalkan tanpa melibatkan sebarang kos pecah dinding,” jelasnya.

Tambah Muhamad Khanafi, proses untuk menyi­apkan sebuah Rumah RIA memakan masa kira-kira sebulan, bergantung kepada pelbagai faktor khususnya berkaitan dengan keadaan tapak tanah dan bentuk muka buminya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini