KUALA LUMPUR 26 Mac – Sebanyak empat blok rumah kongsi yang didiami 250 pekerja tapak pembinaan berhampiran Apartmen Sri Rakyat, Bandar Baru Bukit Jalil, di sini musnah dalam kebakaran, hari ini.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.09 petang sebelum beberapa jentera dengan kekuatan 40 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jalil, Sungai Besi, Seputeh dan Sentul dikejarkan ke lokasi kejadian.
Jelasnya, pasukan yang diketuai Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Jalailudin Abdul Mubin tiba di lokasi pada pukul 3.16 petang dan mendapati berlaku kebakaran di rumah kongsi bertingkat yang diperbuat daripada kontena di lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan 30 unit rumah di empat blok kontena berkeluasan 600 meter persegi yang didiami kira-kira 250 pekerja binaan.
“Dianggarkan rumah kongsi tersebut musnah 90 peratus dalam kebakaran namun tiada mangsa yang terlibat,” katanya.
Tambahnya, kebakaran dapat dikawal pada pukul 3.51 petang dan Unit Forensik Kebakaran telah dimaklumkan dan hadir ke lokasi untuk siasatan.-UTUSAN ONLINE











