KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur baharu, komited dalam menjayakan lapan fokus utama bagi menjadikan ibu negara sebagai bandaraya selamat, selari dengan kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dua tahun lalu.
Datuk Roslan Bek Ahmad berkata, pelantikannya sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur baharu yang berkuat kuasa mulai hari ini akan dipikulnya dengan penuh tanggungjawab dan amanah.
“Tugas sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur bukanlah mudah, ia tugas berat yang memerlukan komitmen, pengorbanan serta daya pengetahuan yang tinggi.
“Bagaimanapun, ia merupakan satu motivasi untuk bersama polis Kuala Lumpur dan berada di bawah kepimpinan Datuk Seri Mazlan Lazim bagi melakar kejayaan serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Baharu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur itu adalah di antara Roslan Bek dan Senior Asisten Komisioner, Rusdi Md. Isa yang merupakan pemangku jawatan tersebut sambil disaksikan oleh Mazlan.
Menurut Roslan Bek yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Kepolisan Am) Bukit Aman, beliau akan berdiri teguh di belakang Datuk Seri Mazlan Lazim dalam memastikan lapan teras utama yang dinyatakan Ketua Polis Kuala Lumpur itu dapat direalisasikan.
Terdahulu, lapan teras utama telah digariskan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dalam misinya untuk menjadikan ibu negara sebagai bandar raya selamat antaranya memerangi kegiatan jenayah seperti ragut, gangsterisme, dadah, pendatang asing tanpa izin (PATI), pengganas, judi, penipuan dan samseng jalanan.
Sementara itu, Mazlan berkata, pengalaman Roslan Bek akan memantapkan lagi pasukan seterusnya mengurangkan kes jenayah di ibu negara.
“Diharap semua ketua jabatan dapat memberi kerjasama kepada timbalan melaksanakan tugas yang baharu ini,” katanya. – K! ONLINE











