ROM – Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri mengesahkan bahawa bintang Portugal, Cristiano Ronaldo masih belum pasti akan diturunkan pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Ajax Amsterdam bulan depan kerana belum pulih daripada kecederaan.
Ronaldo yang memenangi lima trofi kempen Eropah itu ketika bersama Manchester United dan Real Madrid dikeluarkan pada pertemuan Portugal dan Serbia dalam kempen Kelayakan Euro 2020 minggu lalu selepas cedera di pahanya.
“Cristiano sudah boleh mula bergerak, tetapi dia tidak akan turun menjalani latihan sehingga benar-benar pulih. Ada kemungkinan dia akan terlepas aksi pertama dengan Ajax nanti.
“Kami perlu berhati-hati dengan situasi sebegini kerana pernah mengalaminya pada musim lalu. Lebih baik dia terlepas satu perlawanan dan kembali semula dengan keadaan pulih seratus peratus supaya tidak berdepan risiko kecederaan tersebut berulang.
“Berehat satu perlawanan lebih bagus daripada berehat selama dua bulan,” jelas Allegri.
Juara Serie A itu akan berkunjung ke Amsterdam terlebih dahulu bagi aksi pertama 11 April sebelum melayan kelab Belanda berkenaan pada aksi kedua 17 April kemudian.
Kelab The old Lady tersebut masih memburu gelaran Eropah pertama mereka sejak kali terakhir melakukannya pada 1996.
Mereka kini dilihat semakin hampir menjuarai gelaran Serie A buat kali kelapan berturut-turut selepas memiliki kelebihan 15 mata ke atas pasukan tangga kedua, Napoli dengan baki 10 lagi perlawanan musim ini. – AFP











