KUALA LUMPUR 26 Mac – Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan peningkatan semula permintaan terhadap unit negara maju itu ketika harga komoditi seperti minyak sawit pula mengalami penurunan, kata peniaga.
Pada 6 petang, ringgit diniagakan pada paras 4.0700/0730 berbanding 4.0670/0700 sewaktu ditutup pada Isnin.
“Dolar AS mendapat sokongan berikutan keadaan ekuiti negara itu yang lebih perlahan serta pendirian pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat yang lebih berpihak kepada kadar faedah lebih rendah.
“Di peringkat tempatan, Malaysia turut berdepan cabaran ketidaktentuan dagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) membabitkan pertikaian minyak sawit. Filipina pula merancang mengenakan sekatan sementara terhadap minyak sawit Malaysia dan Indonesia yang turut memberi tekanan terhadap ringgit,” katanya kepada Bernama.
Selain itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama dunia.
Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0130/0164 daripada paras 3.0106/0139 pada Isnin dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.3740/3784 daripada 5.3579/3634.
Berbanding euro, ringgit turut berkurangan kepada 4.6060/6098 daripada 4.6030/6081 semalam namun mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.6869/6906 daripada 3.6896/6933, sebelum ini. – BERNAMA











