MARANG 24 Mac – Syamim Zainal dan Muhammad Hanis Kamsah masing-masing muncul johan dan naib johan bagi kategori permainan ‘Pro Evolution Soccer’ 2019 (PES 2019) dalam pertandingan sukan elektronik, Terengganu e-Sports Challenge 2019 peringkat negeri di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM), di sini petang semalam.
Dalam pertandingan selama dua hari itu, Syamim yang mengguna nama Rima Akor-Syamim dan Muhammad Hanis dengan nama GW-Hanisz berjaya menewaskan 62 peserta lain sekali gus membolehkan mereka mewakili Terengganu ke pertandingan peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur Oktober depan.
Tempat ketiga dimenangi Muhammad Ikhmal Mohd. Razali yang menggunakan nama BG-ngoh Besut dan Wan Muhammad Muizzuddin dengan nama KIUALANG 7 meraih tempat keempat.
Bagi kategori permainan FIFA 2019 pula, Amirul Ashraf Hassan Nordin (Ryvox) dan Muhammad Hafriz Heslan (Infinite -Freeze) masing-masing diumumkan sebagai johan dan naib johan setelah menewaskan peserta lain untuk mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.
Tempat ketiga kategori ini dimenangi oleh Diniy Azim Hashim (DINIY.01) dan Afnan Afiq (NHATO) menduduki tempat keempat.
Johan pertandingan bagi setiap kategori menerima hadiah wang tunai RM350 manakala naib johan pula menerima RM200 dan tempat ketiga RM100.
Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dalam majlis penutup yang turut dihadiri Prengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Mohd. Saufi Mohd. Ibrahim.
Pertandingan sukan elektronik yang disertai lebih 100 peserta dianjurkan Jabatan Belia dan Sukan negeri dengan kerjasama Pejabat Daerah Marang serta Persatuan Sukan Elektronik Malaysia dan telah dirasmikan oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Senator Datuk Razali Idris.
Pertandingan dua hari merupakan satu platform bagi melatih kebolehan mental dan fizikal dalam penggunaan teknologi dan sistem elektronik ke arah pencarian bakat tempatan sebagai pendedahan dan pengalaman di peringkat awal bagi penyertaan ke sukan SEA Filipina 2019, Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Sukan Asia Hangzhou 2022. – UTUSAN ONLINE











