KUALA LUMPUR 10 Mac – Jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee merestui pemain tengah Kedah, Fazrul Danel Mohd. Nizam untuk terbang ke Cardiff City bagi menimba ilmu bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu.
Jelas Kim Swee, Fazrul yang diterbangkan ke Eropah bersama tiga lagi pemain dari skuad Piala Presiden Kedah iaitu Mohd. Suhaimie Saad, Aminuddin Abu Bakar dan Mohd. Asri Muhammad, hari ini, untuk tempoh sebulan, sudah pasti akan memperoleh ilmu bermanfaat di sana.
“Kalau ikut senarai pemain tengah yang saya ada buat masa ini, sudah tentu Fazrul perlu bersaing dengan pemain tengah lain. Saya tidak boleh ambil semua pemain tengah kerana hanya 23 pemain berdaftar dibenarkan.
“Fazrul mempunyai peluang ke Cardiff. Kalau dia bersama kami, dia akan terlepas ke Cardiff. Diapun pernah maklumkan bahawa dia belum bersedia (untuk dipanggil).
“Jadi saya benarkan Kedah untuk membawa Fazrul ke sana (Cardiff) di mana dia akan mendapat pendedahan lebih baik,” kata Kim Swee ketika ditemui pemberita pada hari pertama kem latihan pusat di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.
Terdahulu, Kim Swee menyenaraikan 27 pemain untuk menyertai kem latihan pusat bermula, hari ini, bagi persiapan menghadapi kelayakan Kejohanan AFC B-23 2020 di Stadium Shah Alam dari 22 hingga 26 Mac ini.
Daripada 27 pemain tersebut, sembilan daripadanya terlibat dengan perlawanan Liga Super serta Liga Perdana dan mereka hanya akan melaporkan diri pada Selasa, manakala, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang terbabit dengan perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dikehendaki melapor diri, Rabu ini.
Sementara itu, Kim Swee turut mengesahkan dua lagi pemain Pahang yang sepatutnya melaporkan diri, hari ini, iaitu Kogileswaran Raj serta Faisal Abdul Halim diberi kelonggaran dan akan berbuat demikian, Selasa ini.
Skuad negara akan menjalani latihan selama tujuh hari, sebelum berdepan Australia B-22 dalam aksi persahabatan 17 Mac ini. Kim Swee kemudian akan mengeluarkan senarai akhir 23 pemain bagi aksi kelayakan Kumpulan J bermula dengan menentang Filipina, 22 Mac ini.











