Remaja 17 tahun antara disaman Op Cegah Jenayah - Utusan Malaysia

Remaja 17 tahun antara disaman Op Cegah Jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki antara yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan dalam Op Cegah Jenayah Trafik Kuala Lumpur di Jalan Raja Laut di sini malam tadi.

Remaja yang berusia 17 tahun dan menetap di Sungai Buloh itu menggunakan sebuah motosikal milik bapanya untuk kegiatan lumba haram.

Remaja yang hanya mahu dikenali sebagai Mat Danish itu mengakui motosikalnya telah diubah suai sepenuhnya kira-kira tiga minggu lalu.

“Saya kumpul duit poket sendiri dengan bekerja secara sambilan di dalam perkhidmatan katering dan juga menyimpan duit belanja sekolah.

“Ibu bapa tahu saya pergi melepak dengan kawan-kawan di Kuala Lumpur dan mereka tidak menghalang,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi malam tadi.

Antara saman yang dikeluarkan terhadapnya adalah kerana tidak mempunyai lesen memandu, mengubah suai motosikal dan nombor plat yang tidak mengikut spesifikasi dibenarkan.

Tambahnya lagi, dengan motosikal jenis Honda Wave 125 itu dia sering berlumba haram bersama rakan-rakannya di sekitar Damansara, Petaling Jaya.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, seramai 745 penunggang motosikal dan 196 pemandu kenderaan telah diperiksa.

“Daripada jumlah itu, kita telah mengeluarkan sebanyak 375 saman atas pelbagai kesalahan manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 36 notis pemeriksaan kenderaan dan 14 saman.

“Polis juga telah menahan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40-an mengikut Seksyen 108 Kanun Keseksaan kerana berada dalam pengaruh alkohol,” ujarnya.

Operasi yang bermula pada pukul 10.20 malam dan berakhir pada pukul 1 pagi itu dianggotai oleh sembilan pegawai dan 96 anggota polis serta lima anggota daripada JPJ. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN