BEIRUT 8 Mac – Raya Al-Hassan yang menempa sejarah sebagai wanita pertama di rantau Asia Barat dilantik mengemudi Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengakui berdepan cabaran getir biarpun pada awalnya menjangkakan ‘langit sentiasa cerah’ sepanjang karier politiknya.
Arab News melaporkan, dalam tempoh tidak sampai dua bulan memegang jawatan itu, Raya membuat kejutan dengan menghapuskan sekatan jalan raya yang menghalang laluan trafik di bandar-bandar utama selain lantang membahaskan isu perkahwinan sivil dan campur tangan dalam protes komuniti konservatif.
“Saya mahu menjadikan Kementerian Dalam Negeri Lebanon sebagai sebuah entiti yang lebih mendahulukan rakyat. Jelas pada ketika ini berlaku perbezaan doktrin yang mengasingkan rakyat dan institusi awam.
“Perkara ini mencetuskan sikap ketidakpercayaan antara kedua-dua entiti itu,” katanya.
Raya dipilih sebagai Menteri Dalam Negeri Lebanon ketika negara ini berdepan krisis politik dan ekonomi yang teruk. Pelantikan itu mengejutkan semua pihak apabila jawatan tersebut secara tradisinya dipegang oleh lelaki.
Dalam pada itu, Raya bertekad untuk mengimbangi serta mengembalikan kepercayaan rakyat dengan mengurangkan jurang perbezaan yang memisahkan dua blok itu.
“Saya mahu menjadi idola dan menjadi inspirasi kepada golongan wanita di luar sana untuk melibatkan diri dalam sektor awam serta menggalas tugas sebagai pembuat dasar dalam bidang ini.
“Saya tidak melihat persaingan serta cabaran yang dihadapi oleh wanita dan lelaki adalah berbeza,” katanya.
Ibu kepada tiga anak perempuan itu bagaimanapun mengakui tidak dapat meluangkan masa berkualiti bersama anak-anaknya.
“Saya selalu berasa bersalah kerana tidak dapat memberikan yang terbaik kepada mereka (anak-anak). Ketika mereka memerlukan, saya tidak dapat bersama-sama mereka,” katanya.











