Ratu program realiti? Tak kisahlah – Wani Kayrie - Utusan Malaysia

Ratu program realiti? Tak kisahlah – Wani Kayrie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penyanyi Wani Kayrie tidak pernah berhasrat meninggalkan pentas pertandingan nyanyian sekalipun dia sudah berjaya mencipta nama sebagai seorang penyanyi berbakat besar.

Malah kata Wani, dia tidak melihat keperluan untuk menutup peluang bergelar peserta dalam mana-mana pertandingan nyanyian.

Menyertai pertandingan nyanyian juga antara kenangan yang tidak mungkin dilupakan oleh Wanie kerana dia sentiasa menyerikan majlis sedemikian sejak dari kecil lagi.

Wani, 19, melihat penyertaan dalam pertandingan nyanyian sebagai satu langkah untuk memperbaiki diri ketika berhadapan dengan penonton.

Justeru, dia tidak pernah rasa takut dan sentiasa bersedia menyahut mana-mana cabaran dalam pertandingan nyanyian yang akan datang.

“Sejak dari kecil lagi memang saya suka masuk pertandingan nyanyian sehinggalah sekarang. Bagi saya ini adalah peluang untuk memperbaiki diri. Malah melalui acara beginilah saya seperti mempersiapkan diri untuk bergelar penyanyi profesional,” kata Wani.

Kongsi Wani, dia tidak kisah sekiranya ada yang mahu menggelarkannya ratu program realiti.

“Sebab itu bila dapat masuk Big Stage dan Liga Dangdut Asia saya gunakan peluang itu sebaik mungkin sebab ia persaingan yang sihat.

“Jika ada peluang selepas ini untuk saya masuk pertandingan nyanyian lain juga rasanya tidak ada masalah sebab saya memang suka mencuba,” katanya.

Bidang undang-undang jadi pilihan

Bakal meneruskan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi tidak lama lagi, Wani yakin antara perkara utama yang mahu ditunaikan waktu ini adalah untuk merealisasikan impian ibunya yang mahu dia meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang.

“Pada mulanya saya mahu belajar dalam bidang perniagaan, tetapi ibu melihat bidang undang-undang lebih sesuai untuk saya. Maka, ini peluang untuk saya menunaikan impian ibu,” katanya.

Tidak melihat ada masalah untuk bergelar pelajar dan penyanyi dalam masa yang sama, kongsi Wani, dia tidak akan meninggalkan bidang nyanyian semata-mata untuk memberi tumpuan kepada pengajiannya.

“Rasanya tidak ada masalah untuk saya belajar dan dalam masa yang sama meneruskan kerjaya dalam bidang nyanyian. Saya sudah menyanyi sejak kecil dan waktu bersekolah juga saya melalui perkara yang sama.

“Mengimbangi masa untuk belajar dan bekerja tidak ada masalah sebab sudah biasa,” katanya.

Bercinta, nanti dahulu

Sering dikaitkan dengan rakan penyanyi Afieq Shazwan, ketika ini tiada apa yang mahu dikongsikan Wani selain menjelaskan hubungan mereka tidak lebih sekadar rakan baik.

“Memang tidak dinafikan kami rapat, malah saya selesa berkawan dengan dia.

“Tetapi buat masa ini masing-masing sibuk dengan kerjaya sendiri, jadi hubungan itu tidaklah terlalu jauh sebab masih banyak yang perlu kami kejar,” jelasnya.

Bagi Wani, apabila terus dikaitkan mereka bercinta, situasi tersebut tidak pernah memberi tekanan kepadanya.

“Tidak tertekan memandangkan kami tahu peminat kami daripada golongan remaja dan mungkin ada yang melihat keakraban ini pada sudut berbeza,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN