KUALA LUMPUR 4 Mac – Pakatan Harapan tewas dalam dua pilihan raya kecil (PRK) baru-baru ini kerana rakyat sedang memprotes parti tersebut berikutan kegagalan mereka menunaikan amanat yang diberikan rakyat.
Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Burhanuddin Ruslan berkata, rakyat menolak PH kerana pentadbirannya dibarisi jemaah Menteri yang tidak berpengalaman.
Menurutnya, rakyat juga melahirkan kekecewaan terhadap beberapa faktor termasuk cara pentadbiran PH serta kegagalan mereka menunaikan janji-janji terdahulu.
“Rakyat mula menolak pentadbiran PH yang dibarisi barisan jemaah Menteri yang memegang lesen ‘L’, di mana mereka tidak mempunyai pengalaman dalam mengurus tadbir dan hanya bergantung kepada Perdana Menteri.
“Akhirnya kerajaan PH tidak dapat menggerakkan ekonomi negara dan menguruskan pentadbiran kerajaan dengan baik dan tersusun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Burhanuddin menambah, kebanyakan pemimpin PH masih dibuai mimpi dan menyalahkan pihak lain atas kegagalan mereka.
“Kebanyakan daripada mereka berlagak seperti pembangkang, sibuk mencari kesalahan dan hanya tahu menuding jari ke arah pihak tertentu di atas kegagalan diri sendiri.
“Ini menunjukkan mereka masih belum sedar dan masih dibuai mimpi. Sepatutnya mereka yang telah diberi amanah oleh rakyat menjalankan tanggungjawab dengan baik dengan melaksanakan polisi-polisi yang boleh memberi kesejahteraan kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE










