SINGAPURA – Empat rakyat Malaysia, seorang lelaki dan tiga wanita berumur 29 dan 42 tahun didakwa pada Sabtu lalu atas kesalahan cubaan menyeludup seorang wanita Myanmar keluar dari republik itu secara haram.
Wanita warga Myanmar itu pula didakwa atas kesalahan memasuki secara haram dan cuba keluar secara haram dari Singapura.
Menurut Pihak Berkuasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura pada 28 Februari lalu, kira-kira pukul 7.45 petang, pegawainya menghentikan sebuah kereta yang didaftarkan di Malaysia untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Kereta itu dipandu oleh seorang wanita Malaysia berusia 42 tahun dan membawa seorang lagi penumpang wanita Malaysia.
Semasa melakukan pemeriksaan, pegawai menemui seorang lagi wanita yang tidak mempunyai dokumen perjalanan atau pengenalan diri bersembunyi dalam bonet kereta.
Ketika sedang menjalankan siasatan, ICA berkata, pegawainya terlihat satu lagi kereta yang didaftarkan di Malaysia di kawasan pasca imigrasi dengan enginnya masih hidup.
Mengesyaki bahawa kereta yang terbiar itu ada kaitan dengan kereta yang pertama, pegawai ICA dengan pantas menutup pintu pemeriksaan pada pukul 8.03 malam.
Sejurus kemudian seorang lelaki dan seorang wanita yang menaiki kereta kedua itu dicekup, dan pintu pemeriksaan dibuka semula pada 8.10 malam.
ICA berkata, siasatan awal mendedahkan bahawa pemandu serta penumpang kedua-dua kereta itu bersubahat dalam cubaan menyeludup keluar wanita berkenaan yang disahkan sebagai warga Myanmar. – Bernama











