KUALA LUMPUR 10 Mac – Walaupun Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berniat baik untuk mempertahankan kenyataan kontroversi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, namun tindakan itu dilihat hanya akan memudaratkan keharmonian antara kaum dalam negara.
Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha berkata, hal itu kerana sebagai Menteri Pertahanan, Mohamad perlu menegur dan menasihati Guan Eng serta menteri-menteri lain supaya tidak mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan mengancam perpaduan dalam negara.
Katanya, pergolakan antara kaum akan tercetus sekiranya masih ada ahli politik yang mengamalkan sikap untuk mempertahankan kesalahan nyata yang dilakukan rakan mereka dan tidak meletakkan kepentingan nasional sebagai perkara utama.
“Lebih elok sekiranya Mohamad menasihati Guan Eng yang menggalas tugas sebagai Menteri Kewangan untuk berhenti mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum sehingga boleh menjejaskan keharmonian negara.
“Mohamad sepatutnya memberitahu Guan Eng untuk fokus kepada kerja membaik pulih ekonomi negara kerana tekanan kos sara hidup yang tinggi ketika ini perlu diselesaikan secepat mungkin. Usah lah terlalu berpolitik,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.
Kelmarin, Mohamad dalam sidang akbar selepas hadir ke program Bicara Minda di Dewan Karangkraf, Shah Alam mempertahankan kenyataan Guan Eng yang berbaur perkauman dengan menyamakan maksud ‘perang’ sama seperti mana ‘perangi rasuah’.
Mengulas lanjut, Jufitri berkata, Guan Eng sepatutnya sedar dengan kedudukan beliau sebagai kerajaan dan bukannya mengamalkan sikap sebagai pembangkang dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh disalah tafsir.
Katanya, Guan Eng perlu mencontohi pemimpin DAP lain yang berjaya melaksanakan portfolio mereka dengan cemerlang seperti Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo serta Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.
Sementara itu, Presiden Jaringan Bersatu Sahabat Perak (Jabat), Amiruddin Mohd. Daud menggesa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memastikan setiap anggota Kabinet tidak mengeluarkan kenyataan kontroversi seperti yang dilakukan Guan Eng.
Amiruddin berkata, kegagalan untuk mengawal pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang banyak menyentuh isu sentitif seperti kaum dan agama akan menimbulkan kebencian terhadap kerajaan ketika ini.
“Kerajaan PH nampak bercelaru seperti anak-anak kapal yang tidak mampu bekerjasama walaupun berada di dalam satu kapal. Pemimpin Melayu Islam dalam PH jangan hanya menjadi boneka apabila rakan mereka yang bukan Islam merendah-rendahkan Melayu Islam,” katanya. – UTUSAN ONLINE











