Quagliarella cipta rekod Azzurri - Utusan Malaysia

Quagliarella cipta rekod Azzurri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARMA 27 Mac – Fabio Quagliarella mencipta rekod sebagai pemain paling tua meledak gol buat skuad kebangsaan Itali ketika membantu pasukan itu membelasah Liechtenstein 6-0 dalam aksi kelayakan Euro 2020 hari ini.

Pada usia 36 tahun, 54 hari jaringan penyerang Sampdoria itu menerusi sepakan penalti pada minit ke-35 dan 45 mengatasi rekod milik Christian Panucci yang menjaringkan gol ketika menentang Romania pada 2008 di usia 35 tahun.

Sejurus tamat perlawanan, Quagliarella menegaskan, dia tidak pernah merasakan usianya sudah mencecah 36 tahun kerana masih mampu memberikan aksi terbaik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sudah berusia 36 tahun tetapi saya langsung tidak merasainya! Malam yang indah dan dua gol yang hebat.

“Sudah lama saya tidak beraksi buat skuad kebangsaan, jadi dapat kembali hari ini memberi satu perasaan yang mengagumkan.

“Saya gembira, fizikal berada dalam keadaan terbaik dan akan terus berlatih gigih. Terima kasih juga kepada Roberto Mancini (pengurus) yang menilai prestasi saya sepanjang musim,” katanya kepada stesen televisyen Itali, Rai.

Quagliarella mendapat kepercayaan Mancini selepas muncul penjaring terbanyak Serie A musim ini dengan 21 gol.

Perlawanan di Parma hari ini adalah penampilan pertama penyerang veteran itu dalam saingan kompetitif sejak kali terakhir menyarung jersi Itali ketika menentang Cyprus dalam kelayakan Piala Dunia pada 2009.

Ini adalah kemenangan kedua berturut-turut buat skuad Azzurri dalam kempen kelayakan Euro 2020, sekali gus membolehkan mereka mendahului Kumpulan J.

Empat lagi jaringan Itali di Stadium Ennio Tardini disempurnakan oleh Stefano Sensi, Marco Verratti, Moise Kean dan Leonardo Pavoletti.

Liechtenstein pula menamatkan permainan dengan 10 pemain selepas Daniel Kaufmann dibuang padang pada babak kedua kerana terpegang bola dalam kawasan penalti. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini