KOTA BHARU 17 Mac.- Kerajaan Pas Kelantan tidak bersetuju jika permainan dalam talian Player Unknown’s Battleground (PUBG) diharamkan kerana dikaitkan dengan sentimen kegananasan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Datuk Dr. Mohamed Fadli Hassan berkata, insiden berdarah di dua buah masjid Christchurch, New Zealand itu adalah serangan keganasan dan tiada langsung kaitan dengan sukan elektronik (e-sport) tersebut.
Katanya, walau bagaimanapun semua benda melibatkan aspek positif dan negatif termasuk dalam e-sport dan terpulang kepada kebijaksanaan seseorang untuk menilainya.
“Jika niat hendak membunuh tiada senapang pun boleh membunuh dengan peralatan lain dengan pisau, pedang dan benda lain.
“Saya menasihatkan golongan muda ambil semua perkara dalam bentuk positif dan tinggalkan yang negatif. Insiden berdarah berlaku di New Zealand itu adalah keganasan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meyampaikan hadiah pertandingan Kejohanan PUBG Mobil Pantai Timur 2019 di Dewan Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Kejohanan E-Sport Eskel, Dr. Roy Moheidy Mohd. Zain; Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Mohmad Embong dan Pengerusi Kejohanan, Datuk Dr. Mohd. Zain Yusof dan Pengarah
PPAK, Roslan Ludin .
Pemenang tempat pertama bagi kategori solo disandang oleh Muhammad Idham Fitri Abdullah yang membawa pulang wang tunai RM4,000.
Manakala juara kategori berkumpulan milik Nur Ahmad Shahfuan Hanafiah sebagai ketua pasukan menerima wang tunai RM7,000.
Sementara hadiah khas pemain terbaik keseluruhan diperoleh Wan Muhamad Firdaus Wan Ali dengan membawa pulang piala pusingan. – UTUSAN ONLINE











