PT3:Cegah pelajar jadi 'alat peperiksaan' - Utusan Malaysia

PT3:Cegah pelajar jadi ‘alat peperiksaan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Mac – Parti Gerakan menganggap langkah mahu mengubah format Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) termasuk memperkenalkan semula ujian secara bertulis bagi beberapa mata pelajaran sebagai tindakan regresif dan tidak boleh dipandang remeh.

Sehubungan itu, Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai membantah inisiatif tersebut dan mahu sistem peperiksaan dihapuskan kerana berpendapat pemarkahan peperiksaan akan meletakkan beban tinggi kepada pelajar.

Dalam masa sama, Dominic menganggap pemansuhan peperiksaan juga boleh mencegah pelajar daripada menjadi ‘alat peperiksaan’ dan mengelakkan mereka daripada hilang arah dalam pengajaran serta pembelajaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelas beliau lagi, dasar Kementerian Pendidikan yang kerap berubah-ubah termasuk melibatkan pemakaian polisi kasut hitam telah mengakibatkan kekeliruan dalam kalangan rakyat sekali gus sukar untuk menyesuaikan diri.

“Bagaimana pelajar dapat bersedia sepenuhnya untuk menghadapi peperiksaan sekiranya terdapat perubahan secara tiba-tiba yang dilakukan Kementerian Pendidikan. Apakah tujuan sebenar kementerian untuk menukar format?

“Adakah mereka telah berbincang dengan pihak terlibat termasuk orang awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pendidikan? Saya masih ingat Kementerian Pendidikan pernah mengadakan kaji selidik tentang peperiksaan dan mengutip pandangan daripada ibu bapa tetapi keputusannya tidak pernah diumumkan. Apa asas kerajaan membuat perubahan lagi kepada format PT3?,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Akhbar The Star semalam melaporkan ujian secara bertulis yang akan menyumbang sehingga 80 peratus pemarkahan pelajar akan diperkenalkan semula dalam PT3 terutama mata pelajaran Geografi dan Sejarah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini