KUALA LUMPUR 29 Mac – Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan mengadakan Program Menembak Gagak di seluruh kawasan pentadbirannya pada Sabtu ini bermula dari pukul 7 pagi hingga 7 malam.
Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, tindakan itu sebagai langkah kawalan terhadap populasi gagak dan memastikan kawasan MPSJ bersih dan indah.
“Usaha ini diharap dapat mengelakkan pencemaran najis dan jangkitan penyakit bawaan gagak kepada penduduk setempat.
“Kami turut berkerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Penembak Subang dan Jawatankuasa Penduduk MPSJ,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azfarizal, program tersebut melibatkan beberapa kawasan tumpuan antaranya SS12, SS14, SS15, SS17, SS18, SS19, Taman Putra Mahkota, Putra Heights, USJ 23, Taman Kinrara 3, Taman Kinrara 5, Bandar Kinrara, Taman Puchong Indah dan Bandar Metro, Puchong. – UTUSAN ONLINE











