KUALA LUMPUR 1 Mac – Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) akan menganjurkan Program Indah Persekitaran 2019 yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM25,000.
MDHS dalam kenyataan di sini hari ini berkata, program itu terbuka kepada warga daerah Hulu Selangor yang mana tarikh tutup penyertaan adalah sebelum 15 Mac ini.
Katanya, tiga kategori dipertandingkan iaitu perumahan, bangunan bertingkat dan industri.
“Bagi pertandingan kategori perumahan dan bangunan bertingkat, johan akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM15,000 manakala naib johan dan tempat ketiga ialah RM6,000 dan RM4,000.
“Sementara untuk kategori industri pula, ganjarannya ialah nama syarikat diiklankan pada papan tanda nama majlis,” katanya.
Menurut kenyataan itu, mereka yang berminat menyertai pertandingan itu boleh mendapatkan borang penyertaan dengan menghubungi Jabatan Landskap MDHS di talian 03 6064 1726. – UTUSAN ONLINE










