SHAH ALAM – Jabatan Kesihatan Negeri Selangor merampas 28 jenis produk tidak berdaftar termasuk kosmetik tidak bernotifikasi dianggarkan bernilai RM6.2 juta dalam satu serbuan di Taman Perindustrian Air Hitam, Klang dekat sini Isnin lalu.
Serbuan oleh enam orang pegawai dari Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Selangor itu bermula kira-kira pukul 11 pagi menyasarkan sebuah premis yang menyediakan perkhidmatan logistik.
Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Khalid Ibrahim berkata, serbuan tersebut dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat dan aduan daripada orang ramai berkenaan penjualan produk terbabit yang diiklan dan dijual secara dalam talian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, produk dan kosmetik berkenaan diimport dan disimpan di premis terbabit sebelum dihantar kepada pelanggan melalui syarikat kurier tempatan.
“Pemeriksaan di premis terbabit telah menemui kira-kira 28 jenis produk tidak berdaftar termasuk kosmetik tidak bernotifikasi.
“Pihak kita kemudiannya merampas barangan tersebut yang dianggarkan bernilai RM6.2 juta untuk siasatan lanjut. Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelas beliau, penjualan produk tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.
“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,”ujarnya.
Justeru, katannya, orang ramai dinasihatkan tidak membeli dan menggunakan produk tidak berdaftar atau kosmetik yang tidak bernotifikasi dengan kementerian.
“Orang awam boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk atau notifikasi kosmetik menerusi laman npra.moh.gov.my atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400.
“Selain itu, mereka juga boleh mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkaitan produk meragukan sebagai usaha bersama kementerian untuk membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak dibenarkan,” katanya.
Tambah beliau lagi, aduan dan maklumat turut boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi KKM menerusi laman www.pharmacy.gov.my atau portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di laman moh.spab.gov.my. – K! ONLINE











