AKHIRNYA seperti yang diduga kebanyakan pihak, pembangkang berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil DUN Semenyih. Kemenangan yang dilihat manis pada UMNO kerana berjaya memulihkan semangat dan jati diri sebagai pembangkang ini bertambah molek kerana mendapat sokongan dan dukungan kuat sekutu rapat Pas.
Sekurang-kurangnya ia memberi ‘tonik mujarab’ bahawa harapan orang Melayu untuk melihat kerjasama antara dua parti utama Melayu Islam itu berjaya dilangsungkan akhirnya. Tiada siapa menyangka akhirnya setelah kalah pilihan raya lepas barulah kerjasama ini menjelma sebagai realiti.
Bagi penulis sepatutnya kerjasama sebegini sudah sepatutnya lebih lama terjalin. Malah lagi baik lagi jika kerjasama ini kekal kukuh selepas penubuhan Barisan Nasional (BN) pada 1973 sebelum Pas keluar atau dikeluarkan pada 1977 akibat krisis dalaman BN.
Sayangnya pertelagahan mengakibatkan jurang sesama Melayu semakin melebar ketika itu akibat perbezaan politik antara UMNO dan Pas.
Walaupun kedua-duanya menjunjung Islam dan membela Melayu namun ideologi membezakan sehingga saling bermusuhan dan bertikam lidah seolah-olah tidak ada langsung ruang untuk perpaduan Melayu.
Hanya kerana politik, orang Melayu berseteru sehingga kafir mengkafir dan masjid menjadi tempat perbalahan. Sayangnya langsung tak terlintas usaha menjalin kembali penyatuan demi Melayu dan Islam ketika itu.
Sedangkan pada pandangan saya itulah saat dan ketika paling baik untuk dua parti Melayu itu mencari titik penyelesaian menamatkan perseteruan.
Karakter sebenar
Namun, itu bukan persoalan sekarang dan akan diulas nanti. Pokoknya, bagaimana UMNO dan Pas boleh menjadi lebih selesa selepas ini jika dalam banyak hal kekalahan Pakatan Harapan (PH) di Semenyih adalah bagus untuk mereka dan mampu menjadi kayu pengukur penerimaan rakyat terhadap PH.
Kalau PH masih bermimpi majoriti orang Melayu dan Islam masih bersama mereka, kena sedarlah dari lena yang panjang itu, dah lebih 9 bulan pun.
Rakyat mungkin menerima peralihan kuasa dari BN kepada PH selepas pilihan raya lepas kerana waima apapun, hidup tetap terus seperti biasa.
Tidak pula kita dengar orang merusuh dan berlaku kejadian tidak diingini selepas kalah dan majoriti rakyat terutama orang Melayu tetap reda. Mungkin kerana sikap dan budaya Melayu itu sendiri yang terkenal dengan tolak ansur walau dalam keadaan politik serba tidak keruan.
Kini selepas 9 bulan rakyat mula sedar dan membuat penilaian kritikal terhadap kerajaan baharu bersandarkan pengamatan apa yang berlaku di depan mata, fakta dan analisis yang dibentangkan oleh pelbagai pihak, mahupun cakap-cakap dan gosip kedai kopi atau di tangga rumah.
Dan sejak PRK Cameron Highlands hingga ke Semenyih, rakyat terutama orang Melayu sudah mula menunjukkan karakter sebenar mereka yang rata-rata tidak suka di “kencing”.
Dan soal memenuhi janji manifesto perlu diselesaikan oleh PH jika mahu terus memerintah dan bukan sekadar kerajaan sepenggal.
Namun rata-rata pemimpin di dalam PH sudah mula mengakui pentingnya janji manifesto dipenuhi selain melihat apa yang dipersoalkan UMNO dan Pas tentang kedudukan orang Melayu Islam yang terpinggir di bawah kepemimpinan kerajaan Malaysia Baharu sebagai satu keperluan untuk ditangani segera.
Mereka sudah mula menerima hujah dan pandangan sesuatu perlu dilakukan untuk mengembalikan sokongan serta memperbetulkan persepsi tentang peranan membela Islam dan Melayu.
Nikmat penyatuan
Hakikat bahawa teras kepada negara ini adalah Islam dan Melayu perlu difokuskan kembali dan dicari jalan bagaimana untuk memulihkan stigma ini supaya persepsi mereka tidak dibela diperbetulkan.
Dalam meniti kejayaan selepas PRU lepas, walaupun PH dilihat molek di luar namun ia belum tentu menjamin isi di dalamnya ranum dan enak. Hakikat ini tidak ada sesiapa boleh ketepikan kerana inilah punca kenapa orang melihat PH sebagai bermasalah.
Satu lagi perkara penting perlu diselesai adalah perbalahan sesama sendiri antara komponen PH, sama ada Datuk Seri Anwar bakal menjadi Perdana Menteri selepas ini. Ia kini sering sahaja menjadi topik perbincangan seantero dunia.
Selepas menang di Parlimen Port Dickson, masih belum jelas langkah Anwar itu betul atau sumbang berdasarkan polemik dan krisis yang berlaku dalam PH.
Soal ini perlu ditangani segera kerana rakyat tidak mahu melihat kemelut Mahathir-Anwar berterusan, yang hakikatnya telah membunuh perasaan dan hilangnya nikmat penyatuan Melayu lebih 20 tahun.
Apa lagi nak dibanggakan jika politik orang Melayu sekitar menekan, ‘membunuh’, dan memalukan pemimpin dan kemudian ulang semula demi kelangsungan kuasa.
Waima apapun antara kebimbangan kini, sejauh mana UMNO mampu bertahan. Selepas PH tersedar dari diulit lena panjang dan fokus kepada perjuangan untuk Melayu dan Islam jika diterima rakyat, apa lagi yang tinggal untuk UMNO selain kerjasama dengan Pas.
Apatah lagi jika MCA dan MIC sendiri mahu keluar BN, isu terlalu fokus pada Melayu dibimbangi akan memakan diri pada PRU akan datang.
Yang penting dalam perjuangan perlulah bersederhana. Jangan terlalu ekstrem atau menyebelahi sebelah pihak. Tidak mustahil ia akhirnya memakan diri.
Bagi UMNO pula dari pandangan umum masyarakat ketika itu ia dilihat lebih praktikal dan secocok dengan situasi semasa dan global dalam mengejar kemajuan dan pembangunan yang perlu dihadam demi kelangsungan.
Waima apapun soal kerjasama UMNO-Pas ini bukan untuk penulisan kali ini kerana ia soal pokok dan perlu dikupas dengan teliti dan realistik.











