HULU LANGAT 2 Mac – Keadaan lalu lintas di kawasan sekitar Semenyih sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih berada dalam keadaan terkawal walaupun agak sesak.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff memberitahu pihak polis telah mula bertugas sejak pukul 4 pagi tadi bagi memastikan proses pengundian hari ini berjalan lancar.
Katanya, seramai 60 anggota dan pegawai trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah ditempatkan di semua 23 pusat daerah mengundi (PDM) bagi mengawal lalu lintas di setiap persimpangan masuk dan laluan utama PDM.
“Keseluruhannya, keadaan di semua PDM terkawal dan baik. Setakat ini pihak polis juga tidak menerima apa-apa laporan berhubung isu-isu panas.
“Kami juga menasihatkan supaya pengguna jalan raya yang tidak terlibat dengan proses mengundi untuk mengelakkan beberapa laluan seperti yang telah diberitahu sebelum ini bagi memastikan kawasan tersebut sesak sekali gus menyukarkan pengundi untuk keluar mengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke pusat pengundian Dewan Serbaguna Orang Ramai Semenyih di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











