HULU LANGAT – Calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi yang meraih kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih semalam menyifatkan kemenangannya itu sebagai hadiah hari lahir paling indah dalam hidupnya.
Menurutnya, kemenangan itu yang tiba dua hari sebelum dia menyambut hari lahirnya yang ke-58 esok datang bersama tanggungjawab selaku seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan berkenaan.
“Kemenangan itu adalah hadiah paling besar untuk saya sebagai orang biasa yang dipilih menjadi pemimpin bagi menyelesaikan permasalahan rakyat.
“Saya rasa berbesar hati dan rasa terpanggil. Insya-Allah saya akan lalukan sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan penduduk di kawasan sekitar Semenyih di sini hari ini.
BN menerusi Zakarian berjaya merampas kembali kerusi DUN Semenyih selepas dia berjaya menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali dengan memperoleh majoriti 1,914 iaitu 19,780 undi.
Muhammad Aiman memperoleh 17,866 undi manakala calon dari Parti Sosialis Malaysia, Nik Aziz Afiq Abdul mendapat 847 undi dan 725 undi bagi calon Bebas, Kuan Chee Heng.
Sementara itu, Zakaria berkata, perkara pertama yang akan dilakukannya selaku ADUN Semenyih adalah bertemu dengan orang ramai bagi mengenal pasti permasalahan dihadapi mereka.
“Di DUN Semenyih sudah banyak masalah sedia ada dihadapi penduduk seperti persekitaran, kebersihan, tol dan sebagainya. Kita akan cuba memperjuangkan hal ini agar kerajaan lebih prihatin terhadap isu tersebut,” katanya. – K! ONLINE











