SEREMBAN 4 Mac – Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau, Dr. S. Streram mendakwa bantahan yang diadakan beberapa pihak bagi menolaknya daripada bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau didalangi pihak tertentu.
Bagaimanapun, Streram berkata, beliau tidak mahu menuding jari kepada mana-mana individu yang dianggap cuba menafikan peluangnya daripada menjadi calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi DUN berkenaan.
“Ya, ada dalang. Dia yang uruskan sidang akhbar dan perhimpunan bantah saya. Tapi saya tak tahu dan tak ada hubungan dengan mereka. Mungkin mereka rasa saya calon yang hebat sehingga perlu berbuat demikian.
“Bagaimanapun saya tak mahu layan bantahan itu. Walaupun ada ketua kampung bantah, mereka ini antara yang gagal buat kerja. Yang penting penduduk kampung yang saya telah temui menyokong saya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam seramai 11 pengerusi dan setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Rantau meminta PH tidak menamakan Streram sebagai calon dalam PRK Rantau kerana beliau bukan calon tempatan.
Baru-baru ini, sebuah pertubuhan dikenali Badan Bertindak Jentera Pilihan Raya PH DUN Rantau mengadakan sidang akhbar membantah Streram dicalonkn dan sebaliknya meminta seorang ahli jawatankuasa PKR Cabang Rembau dipilih.
Menurut Streram, walaupun ada bantahan namun beliau yakin ia tidak menjejaskan peluangnya untuk dipilih bertanding di kerusi DUN tersebut.
“Saya percaya saya mempunyai 90 peratus peluang untuk menjadi calon. Tetapi saya hormat dan serahkan kepada pucuk pimpinan di negeri dan Pusat untuk membuat keputusan.
“DUN Rantau ini unik, kalau kita tidak buat kerja susah untuk diterima pengundi. Sebab itu saya turun padang, ketuk pintu rumah penduduk jumpa mereka. Begitu juga pengundi kaum India dan Cina, mereka hendak calon yang bekerja untuk mereka,” katanya.
Difahamkan terdapat 10 individu menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon PH. Selain Streram, calon lain ialah Ketua PKR Cabang Rembau, R. Tanggam dan Ketua Wanita PKR Cabang berkenaan, K. Bathmavathi.
PRK DUN Rantau perlu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan baru-baru ini mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan kemenangan calon Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 adalah tidak sah dan terbatal. – UTUSAN ONLINE










