SEREMBAN – Jangan berbalah sesama sendiri hanya disebabkan isu calon sebaliknya terus bekerja untuk memastikan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, kata Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Aminuddin yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri berkata, soal pemilihan calon akan ditentukan pucuk pimpinan termasuk mengambil kira potensi calon boleh menang.
“Kita terima berbelas nama seperti disebut Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini. Kita harap mereka di bawah, penyokong dan pengundi bersabar, jangan soal pemilihan calon kita berbalah, kita harus bekerja untuk kemenangan bukan fikirkan siapa calon.
“Soal calon akan ditentukan pucuk pimpinan mengambil kira juga pandangan di bawah untuk dibincangkan dan melihat potensi calon boleh menang, bukan tidak ambil kira langsung pandangan di bawah, itu yang penting,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi pengundian Rumah Mampu Milik Type A, Taman Bukit Sarimban di sini, hari ini. – Bernama











