PUTRAJAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memikirkan calon yang sesuai untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dan memutuskannya dalam mesyuarat biro politik parti itu, kata Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kedudukan Dr S. Streram sebagai calon Pakatan Harapan (PH) yang teraniaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan turut diambil kira.
“Calon PKR belum lagi diputuskan. Biro politik akan bermesyuarat dan fikirkan,” katanya ketika ditanya pemberita apakah Streram akan dicalonkan semula pada PRK Rantau.
Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ditemui pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementerian itu di sini hari ini.
Pada PRU-14, calon Barisan Nasional yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan diisytiharkan menang kerusi DUN Rantau tanpa bertanding selepas Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat pencalonan. – Bernama









