PRK: Indikator politik masa depan? - Utusan Malaysia

PRK: Indikator politik masa depan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih merupakan PRK keenam diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). PRK ini amat signifikan dalam mengukur beberapa indikator atau petunjuk politik. Hal ini disebabkan PRK ini mempunyai keunikannya tersendiri berbanding beberapa PRK sebelumnya.

Keunikan ini terlihat dari beberapa aspek seperti buat pertama kalinya Barisan Nasional (BN)-Pas bekerjasama secara yang lebih formal dan teratur, diadakan selepas BN mendapat momentum kemenangan pasca PRK Parlimen Cameron Highlands dan buat pertamanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding pasca PRU-14.

Justeru, beberapa perkara yang perlu dilihat dalam menilai PRK ini sebagai indikator politik.

Memuatkan artikel berkaitan…

PERTAMA

Sejauh mana dakwaan wujudnya gelombang protes rakyat terhadap kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) khususnya menunaikan janji-janji dalam manifesto PRU-14 mereka yang lalu.

Mungkin gelombang ini tidak wujud atau mungkin wujud dalam keadaan tidak kuat pada empat PRK terawal memandangkan PRK tersebut diadakan pada tahun sama PH mengambil alih kerajaan sejak 2018. Masih wujud ruang dan peluang yang diberikan oleh rakyat kepada kerajaan baharu pada tempoh tersebut.

Namun setelah berlabuhnya tirai 2018, PRK Parlimen Cameron Highlands yang diadakan berlangsung pada 26 Januari 2019 menyaksikan seolah-olah ‘petanda’ bahawa ruang dan peluang yang telah diberikan sudah pun mencapai tarikh luputnya.

Apakah terdapat andaian bahawa mungkin disebabkan kawasan ini merupakan kawasan yang telah dimenangi BN pada PRU-14 lalu biarpun dengan hanya majoriti 597 undi, maka sewajarnya PRK di kawasan tanah tinggi itu dimenangi BN?

Maka sebagai ukurannya, sewajarnya PRK DUN Semenyih ini menjadi indikator utama untuk mengesahkan sama ada apa yang didakwa selama ini merupakan satu trend atau andaian semata-mata. Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun memberikan peringatan kepada semua pimpinan PH bahawa kekalahan PH di PRK Parlimen Cameron Highlands sebagai isyarat amaran awal rakyat yang jelas terhadap kerajaan.

Beliau menegaskan bahawa rakyat marhaen tidak peduli dengan isu-isu politik sebaliknya lebih melihat kepada soal kos sara hidup serta isu-isu yang berkaitan dengan kebajikan rakyat yang masih gagal ditekuni dan ditangani kerajaan secara efektif.

KEDUA

Penerimaan rakyat terhadap permulaan kerjasama UMNO-Pas. Pas yang berpegang kepada tahaluf siyasi di mana meletakkan syarat penerimaan Islam sebagai syarat kerjasama dengan mana-mana pihak (parti).

Saling menerima prinsip perjuangan dan kepentingan Melayu-Islam antara UMNO-Pas telah membawa kepada kerjasama politik ini.

Impak daripada PRK Parlimen Cameron Highlands dikatakan telah mewujudkan pencetus kepada kerjasama ini yang dilihat lebih jelas dan bersifat formal. Apakah PRK DUN Semenyih merupakan permulaan kepada teori bola salji atau teori domino yang akan membawa kepada kejayaan BN-Pas pada PRU-15?

Jika BN menang, berkemungkinan ini menjadi petanda awal kepada kebenaran teori berkenaan. PRK DUN Semenyih juga menjadi petunjuk sama ada pengundi Melayu-Islam menerima kerjasama politik antara UMNO dan Pas ini di samping ‘memaafkan’ sekali gus ‘melupakan’ segala kesalahan lampau yang pernah dibuat UMNO-BN sebelumnya.

KETIGA

Pengukur sejauh mana kebangkitan umat Islam dan Melayu terhadap beberapa isu sensitif dan kontroversi yang timbul semenjak kerajaan PH mengambil tampuk kepimpinan.

Antara isu tersebut, misalnya isu pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara, pendirian yang tidak jelas pihak kerajaan terhadap isu transgender dan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kekecohan yang tercetus berikutan penempatan semula Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield yang membawa kepada kematian seorang anggota bomba, Muhammad Adib, kontroversi melibatkan Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan yang terbaharu adalah karikatur penghinaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ketidakjelasan pendirian kerajaan serta kegagalan kerajaan dalam mengurus isu-isu tersebut secara berkesan dan tegas mengakibatkan kebangkitan kemarahan orang Islam-Melayu kepada PH sekali gus akan memulangkan undi kepada BN-Pas yang ternyata bertindak mempertahankan hak Islam dan Melayu dalam situasi ini.

KEEMPAT

Pertembungan politik di PRK DUN Semenyih juga menjadikan ukuran atau petunjuk sejauh mana kekuatan Bersatu sama ada mampu dan berupaya menjadi parti yang boleh menggantikan UMNO atau sebaliknya.

Inilah buat julung kalinya calon PH dari Bersatu bertanding pada PRK pasca PRU-14. Jika sebelum ini, PRK hanya melibatkan calon daripada PKR (DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Parlimen Port Dickson) dan DAP (DUN Balakong dan Parlimen Cameron Highlands).

Oleh hal yang demikian, memenangi kerusi DUN Semenyih menjadi misi wajib buat Bersatu bagi membuktikan mereka adalah parti pilihan rakyat khususnya orang Melayu bagi menggantikan UMNO.

KELIMA

PRK ini juga berkemungkinan besar menjadi kayu pengukur sejauh mana tempoh kepimpinan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri buat kali keduanya. Sebelum PRU-14, Dr. Mahathir telah menyatakan hasrat untuk menjadi Perdana Menteri selama dua tahun jika PH berjaya menubuhkan Kerajaan Persekutuan.

Walau bagaimanapun, mutakhir ini terdapat usaha-usaha khususnya daripada penyokong Bersatu agar beliau terus menjadi Perdana Menteri sehinggalah PRU-15.

Namun sekiranya Bersatu tewas di PRK DUN Semenyih, sedikit sebanyak akan mencalarkan imej Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dan juga Presiden Bersatu. Tidak mustahil juga desas desus yang menyatakan terdapat usaha-usaha untuk memendekkan tempoh pentadbiran Dr. Mahathir supaya digantikan dengan pimpinan PH dari parti lain sama ada Anwar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atau Mohamad Sabu akan lebih dipergiatkan lantaran kegagalan ini.

KEENAM

Memberikan gambaran kepada kita sejauh mana kepercayaan dan pengharapan rakyat itu sama ada masih ada ataupun telah lenyap terhadap PH.

Dengan beberapa keputusan kerajaan yang kelihatannya cuba meredakan kegelisahan dan ketidakpuasan hati rakyat (selepas PRK Parlimen Cameron Highlands), umpamanya seperti pemberian Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR), pengambilalihan tol secara berperingkat, memperkenalkan kadar tol baharu, pengumuman penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Negara serta beberapa tawaran lagi.

Namun begitu, seandainya PH tetap gagal memenangi PRK ini maka berkemungkinan besar menunjukkan rakyat sudah tidak lagi meletakkan kepercayaan dan harapan yang besar kepada kerajaan serta wujud pula pemikiran bahawa apa yang telah dilakukan BN sebelum ini adalah lebih baik berbanding yang diberikan PH sekarang.

KETUJUH

PRK DUN Semenyih ini juga menjadi kayu ukur bahawa sama ada landskap politik di Malaysia ini benar-benar berubah daripada politik perkauman kepada politik baharu yang kerap kali menjadi perdebatan pada PRU sebelum ini.

Biarpun PRU-14 menyaksikan kemenangan kepada PH yang seakan-akan menjadi petanda bahawa landskap politik Malaysia yang mula menyongsang kepada politik baharu bersifat lebih sejagat tanpa ada prejudis terhadap mana-mana etnik, agama mahupun budaya.

Namun corak ini kemudiannya seolah-olah menjadi terencat pasca PRU-14 ini dan mula kembali kepada kerangka politik lama yang menjurus kepada politik bersifat perkauman.

PENULIS ialah Penolong Penyelidik di Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini