Prestasi Selangor undang gelisah - Utusan Malaysia

Prestasi Selangor undang gelisah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOLONG bukti kemampuan anda mengendalikan pasukan Selangor dalam aksi berikutnya atau berundur secara profesional.

Demikian luahan penyokong-penyokong tegar Selangor terhadap B. Sathianathan selepas jurulatih itu gagal menghadirkan keputusan yang positif dalam skuad Selangor sepanjang lima perlawanan Liga Super musim ini.

Prestasi skuad Gergasi Merah dilihat semakin parah apabila terus gagal mencatat kemena­ngan pertama mereka setelah hanya mampu mencatat keputusan seri tiga kali dan tewas dua kali, termasuk kekalahan terbaharu 2-4 kepada juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) di laman sendiri kelmarin.

Pengerusi Badan Bertindak Kelab Penyokong Selangor, Mohammed Haniff Rana Manzoor (gambar kecil) menegaskan, rata-rata ahli kelab penyokong berkenaan melahirkan rasa kecewa dengan prestasi semasa juara enam kali tersebut yang kini terperosok di tangga ke 10 Liga Super tanpa mencatat sebarang kemenangan.

“Kita perlukan perubahan dalam pasukan kerana sekarang selepas melalui lima perlawanan, Selangor sudah jauh ke­tinggalan.

“Pasukan ini sudah mempunyai pemain yang hebat serta pelbagai kemudahan yang mencukupi, tetapi mengapa sehingga sekarang Selangor masih lagi gagal mencipta kemenangan.

“Jika sebelum ini (Sathianathan) boleh kata bahawa pasukan Selangor sudah mantap ketika aksi pramusim di Thailand baru-baru ini, mengapa perkara tersebut masih tidak terjadi dan membuahkan sebarang hasil dalam saingan Liga Super musim ini.

“Mereka mengharapkan ribuan penyokong hadir ke stadium untuk memberikan soko­ngan, namun jika terus mempamerkan persembahan seperti ini, jangan haraplah penyokong akan hadir selepas ini,” jelas Mohammed Haniff kepada Kosmo! semalam.

Menurutnya, luahan rasa kecewa ini bukan bertujuan untuk menambah tekanan di bahu Sathianathan dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), sebaliknya ia hanya suara daripada para penyokong Gergasi Merah yang tetap setia di belakang mereka.

“Apa pun kami mahu Sathianathan buktikan kemampuan sebenarnya apabila Se­langor berdepan Kuala Lumpur selepas ini. Jika beliau benar-benar mampu, buktikan hasilnya dan jika sebaliknya, kami harap beliau mungkin boleh berundur secara profesional,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN