KUALA LUMPUR – Seramai 15 wanita dipercayai gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Thailand diberkas polis menerusi Ops Noda di sebuah premis hiburan di sekitar Solaris, Mont Kiara di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 12.45 tengah malam itu telah dijalankan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur.
Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Rohazah Alwi berkata, siasatan awal mendapati, premis berkenaan menawarkan GRO warga Thailand yang berpenampilan mengiurkan bagi menemani pelanggan berhibur.
“Kebanyakan pelanggan yang tergoda dengan layanan manja GRO ini akan memberi tip dan mereka (GRO) mampu meraih keuntungan sehingga RM200 hingga RM400 sehari.
“Kita juga mendapati premis ini menggunakan konsep bar terbuka bagi menarik minat pelanggan yang terdiri daripada lelaki berhidung belang dan telah beroperasi sejak dua tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Tambahnya, selain menahan 15 GRO warga Thailand berusia lingkungan 22 hingga 30 tahun, pihaknya turut berjaya menahan seorang lelaki tempatan dipercayai pengurus premis berkenaan. – K! ONLINE











