PETALING JAYA 4 Mac – Kumpulan samun dan ragut yang dikenali sebagai Geng Katik tumpas selepas polis menahan ahli kumpulan terbabit di Damansara Damai, di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, suspek pertama ditahan oleh Bahagian Risikan Jenayah (D4) Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di kawasan letak kenderaan Apartment Idaman di sini.
“Suspek ditahan kira-kira pukul 8 pagi dan soal siasat terhadap suspek membawa kepada tangkapan seorang lagi suspek di apartmen tersebut.
“Dua lagi suspek berjaya ditahan dalam dua serbuam di sekitar Desa Riang, Damansara Damai, kira-kira pukul 4 petang hari sama,” katanya dalam sidang akhbar, di Balai Polis Sungai Way, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zani, selain tangkapan, pihaknya turut merampas komputer riba, telefon bimbit, jam tangan, barang kemas, pisau dan komponen motosikal yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM70,000.
Jelasnya, geng tersebut dipercayai aktif sejak Januari lalu di sekitar Sri Damansara, di sini.
“Semakan terhadap kesemua suspek yang berusia lingkungan 22 hingga 35 tahun mendapati mereka memiliki rekod jenayah selain terbabit dengan penyalahgunaan dadah jenis syabu,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya kini sedang giat mengesan seorang individu dikenali Mohd Shafiq Mohd Shah atau Syafiq Bangla berusia 27 tahun bagi membantu siasatan berhubung kegiatan jenayah terbabit. – UTUSAN ONLINE










