SERDANG – Polis menahan seramai 73 warga asing dalam Operasi Nyah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang dijalankan di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan di sini semalam.
Ketika diperiksa, kebanyakan mereka tidak memiliki dokumentasi yang lengkap untuk bekerja.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, serbuan yang disertai oleh lima pegawai dan 50 anggota polis itu telah memeriksa seramai 107 warganegara asing yang bekerja di situ.
“Daripada 73 yang ditahan itu terdiri daripada 50 warga Rohingya, Bangladesh (13) dan Indonesia (10).
“Daripada jumlah tersebut, polis turut menahan empat wanita warganegara Indonesia,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini hari ini.
Ismadi menambah, kesemua warga asing yang ditahan berusia antara 30 hingga 60 tahun.
“Daripada kesemua yang diperiksa, 34 individu telah dibebaskan.
“Kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 kerana tidak memiliki sebarang dokumen, Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tinggal lebih masa serta Peraturan 39(b) kerana menyalahgunakan permit,” ujarnya.
Kesemua tangkapan telah dibawa ke IPD Serdang. – K! ONLINE










