KANGAR – Polis malam tadi menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang ditinggalkan berseorangan dalam sebuah rumah dengan pintu berkunci di Taman Hijrah di sini sejak Rabu lepas.
Ketua Polis Perlis, Senior Assisten Komisioner Datuk Noor Mushar Mohamad berkata, Nur Aleesya Zara Abdullah dipercayai ditinggalkan ibunya, Norhazwani Mazlan, 31, yang sudah bercerai.
Beliau berkata polis yang tiba di rumah berkenaan terpaksa memotong mangga pintu rumah tersebut untuk menyelamatkan kanak-kanak malang itu.
Noor Mushar berkata, penemuan kanak-kanak itu berikutan laporan seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kangar yang mendapat maklumat daripada seorang penghuni taman tersebut pada pukul 8 malam tadi.
Dalam kenyataan kepada media melalui aplikasi WhatsApp hari ini, Noor Mushar berkata, penghuni lelaki tersebut bersama jiran lain memberi makan kepada kanak-kanak itu melalui tingkap rumah sejak beliau dikurung. – Bernama










