Pokok hempap kereta selepas ribut kuat di Putrajaya - Utusan Malaysia

Pokok hempap kereta selepas ribut kuat di Putrajaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini sekali lagi dibadai ribut kencang selepas berlaku kejadian angin kuat dan hujan petang tadi.

Ia merupakan ribut kedua dalam tempoh lima hari dan kejadian hari ini menyebabkan sebatang pokok tumbang di atas sebuah kereta jenis Proton Wira di Jalan 11A1/12 dekat Presint 11 di sini lebih kurang ‪pukul 5.20‬ petang.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Jalan A1 Presint 11, Carlos Najmul Basri berkata, kejadian itu tidak menyebabkan kecederaan atau kehilangan nyawa sebaliknya hanya berlaku kerosakan pada bumbung itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pokok tersebut berada dalam keadaan tidak stabil selepas kejadian ribut baru-baru ini namun, ia tumbang hari ini selepas berlakunya hujan lebat selama 20 minit.

“Kejadian pada hari ini tidak melibatkan sebarang kecederaan penduduk setempat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Susulan kejadian itu, penduduk setempat telah melaporkan perkara itu kepada Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Putrajaya, Che Shaari Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima satu panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut.

Bagaimanapun jelasnya, bomba tidak keluar untuk melakukan kerja-kerja menyelamat ekoran penduduk setempat telah mengalih dan memotong pokok tersebut.

Kosmo! Online Sabtu lalu melaporkan, beberapa kawasan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dilanda ribut kencang petang tadi sehingga menyebabkan kejadian pokok tumbang.

Ribut dan hujan selama 30 minit itu menyebabkan beberapa pokok tumbang di Presint 9 dan Presint 11. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini