KUALA LUMPUR 28 Mac – Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengagihkan dividen tertinggi sejak penubuhannya pada 1981 berjumlah RM15 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.
Pengerusinya, Tan Sri Dr. Zeti Aziz berkata, pendapatan bersih proforma PNB dan unit amanah yang digabungkan kekal stabil pada RM17 bilion menyumbang kepada jumlah pengagihan pendapatan dan bonus sebanyak RM15 bilion untuk kesemua dana.
“Prestasi tahun kewangan 2018 PNB menunjukkan peningkatan jumlah Aset di Bawah Pengurusan (AUM) sebanyak 6.9 peratus kepada RM298.5 bilion berbanding RM279.2 bilion pada 2017.
“Dana unit amanah turut mencatatkan peningkatan unit dalam edaran daripada 219.3 bilion pada 2017 kepada 236.6 bilion pada 2018 daripada 13.8 juta akaun merangkumi kesemua 14 dana,” katanya pada pembentangan prestasi kewangan PNB 2018 di sini hari ini.
Bagi Rancangan Strategik 2017-2022, PNB akan melaksanakan Kajian Semula Separuh Penggal Rancangan Strategiknya yang tertumpu kepada bidang peruntukan aset strategik dan pengurusan kecairan optimum, pengurusan risiko organisasi dan transformasi organisasi.
Sehubungan itu, PNB merancang untuk mempercepatkan kepelbagaian portfolionya dengan meningkatkan peratusan pelaburan global dalam semua kelas aset pada masa hadapan.
Portfolio aset global
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, Rangka Kerja Peruntukan Aset Strategik PNB yang dirangka pada 2017 terus menempatkan semula lebihan tunai dalam sekuriti pendapatan tetap dan aset global pada 2018.
Jelasnya, peruntukan portfolio aset global meningkat kepada 3.3 peratus pada hujung tahun lalu berbanding 2.4 peratus pada 2017 dengan hampir RM2 bilion telah dilaburkan di luar negara pada tahun tersebut.
“Kami tahu kadar ini lebih perlahan daripada perancangan asal dengan mengambil kira pendedahan antarabangsa masih lagi di bawah paras optimum. Tahun lalu, bukan masa yang sesuai untuk kami bergerak secara agresif susulan kekangan yang dihadapi termasuk turun naik nilai mata wang.
“Keutamaan kami pada masa hadapan adalah meningkatkan peratusan pelaburan global dengan mengintai pasaran yang tepat dan peluang-peluang bersesuaian. Kepelbagaian portfolio dan mengoptimumkan peruntukan aset menjadi kunci utama kepada PNB untuk terus memberi pulangan mapan pada masa depan,” katanya.
Bina daya tahan
Tambah Abdul Rahman, pasaran modal yang tidak menentu dalam tempoh dua tahun ini memerlukan PNB membina daya tahan jangka panjang terhadap syarikat teras dan strategik.
Menurut beliau, ketidaktentuan pasaran 2018 menyebabkan modal pasaran syarikat-syarikat strategik merosot hampir RM16.9 bilion berbanding RM39.5 bilion yang dijana pada 2017.
“PNB perlu memainkan peranan pengawasan yang aktif untuk mentransformasikan prestasi syarikat-syarikat kami. Rangka Kerja Ekuiti Awam yang dibentuk pada awal tahun ini adalah untuk menyusun pendekatan kami dalam syarikat strategik dan teras,” katanya.
Tidak hiraukan berita negatif
Mengenai situasi semasa yang mencabar, Abdul Rahman berkata, PNB perlu melihat melangkaui pulangan yang dijana dalam tempoh singkat dengan memberi fokus kepada prestasi jangka panjang serta kemapanan.
“Segala berita-berita negatif yang timbul untuk jangka masa pendek tidak perlu dihiraukan dan membuat analisis mendalam bagi melihat potensi sebenar sesuatu aset yang mahu dilaburkan. Ambil peluang daripada kemerosotan pasaran dan menukarnya menjadi peluang yang menguntungkan.
“Inilah yang PNB lakukan selama empat dekad. Kita perlu terus menjana pulangan yang mapan kepada pemegang unit pada masa depan,” ujarnya.











