KUALA LUMPUR 2 Mac – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mempunyai pengaruh yang cukup kuat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Atas sebab itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengakui perkara tersebut berkata, Biro Politik PKR akan membentangkan persiapan parti itu termasuk mengenal pasti beberapa calon berpotensi untuk berdepan dengan Mohamad kepada Majlis Tertinggi Presiden Pakatan Harapan (PH), Sabtu depan.

Jelas beliau, walaupun pengaruh yang kuat itu menyebelahi Mohamad namun mendakwa PKR telah menang kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sekiranya Dr. S. Streram dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon.
“Mengikut hujah akademik, sebenarnya PKR sudah menang di Rantau malah undi DUN itu untuk Parlimen Rembau yang dimenangi Khairy Jamaluddin pada PRU-14, BN telah kalah.
“Maksudnya Tok Mat (Mohamad) telah kalah kalau dibenarkan pemilihan. Itulah bukti, angka tak boleh bohong, walaupun kita mengakui Tok Mat kuat pengaruhnya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Sulung Lukisan-Lukisan Badariah Abdul Hamid di sini hari ini.
PRK DUN Rantau perlu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti berhubung keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan kemenangannya di kerusi itu dalam PRU-14 adalah terbatal dan tidak sah.
Sementara itu, Saifuddin Nasution turut menegur pemimpin Pas supaya mengikut nilai asas dan ajaran Islam iaitu tidak boleh berbohong.
Kata beliau, pengajaran yang boleh diambil daripada penafian Pas membayar lebih RM1 juta kepada pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown itu adalah setiap pembohongan akan terbongkar.
“Lebih mudah kalau Pas ambil pendekatan berterus terang sahaja apakah penyelesaian luar mahkamah itu dibuat dengan membabitkan bayaran tertentu kerana tak semestinya bayaran daripada poket atau akaun Presiden Pas, bayaran boleh sahaja dalam bentuk individu yang diutuskan untuk broked the deal (membatalkan rundingan),” katanya.
Semalam, Rewcastle-Brown mengesahkan menerima bayaran RM1.4 juta sebagai sebahagian daripada persetujuan untuk menyelesaikan saman Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di luar mahkamah pada bulan lalu namun dinafikan oleh Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan.










