PKNS bina rumah mampu milik - Utusan Malaysia

PKNS bina rumah mampu milik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terus fokus untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di Selangor bagi memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri.

Pengurus Komunikasi Korporat PKNS, Ishak Hashim berkata, komitmen itu selari dengan hasrat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang ingin membina sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“PKNS yakin pembinaan rumah mampu milik yang dijenamakan sebagai Rumah Selangorku Idaman PKNS ini dapat mereali­sasikan impian kehidupan lebih baik kepada rakyat negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

PKNS melancarkan Selangorku Idaman Resi­densi di Seksyen 6, Selangor Cyber Valley (SCV) pada Sabtu yang mempunyai 864 unit termasuk empat unit orang kurang upaya yang dijual pada harga RM232,000 seunit dengan keluasan 1,000 kaki persegi (92.90 meter persegi).

Bercirikan gabungan seni bina unik dan mo­den, setiap unit dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua parkir kereta, selain dilengkapi fasiliti se­perti pejabat pengurusan, surau, dewan serba guna, tiga unit ruang kedai, bilik pengurusan jenazah, taman permainan, ruang tadika, dan lif.

Ishak berkata, pangsapuri dua blok itu dijangka siap dibina pada Disember 2020 manakala jangkaan Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) akan diperoleh pada pertengahan 2021.

“Residensi ini terletak di pembangunan bandar pintar yang berdekatan de­ngan lebuh raya utama, pusat beli-belah dan institusi pendidikan yang pastinya menjadi faktor utama untuk bakal pembeli sebelum membuat keputusan pembelian sesebuah kediaman dan hartanah,” katanya.

Menurut Ishak, SCV yang terletak berdekatan Cyberjaya dan Putrajaya merupakan pusat pertumbuhan baharu ke-11 dibangunkan PKNS dan dilihat mampu menjadi kawasan tarikan bagi peluang pelaburan dan perniagaan.

Beliau turut menggesa penduduk di Selangor yang mahu memiliki rumah mampu milik PKNS supaya berdaftar dengan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) kerana PKNS hanya menerima senarai nama pemohon daripada LPHS yang telah diper­akukan Jawatankuasa Pemilihan Senarai Nama Pembeli Rumah Mampu Milik. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN