PETALING JAYA – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyasarkan penyertaan seramai 900 kaki pancing sempena penganjuran Pertandingan Memancing Petaling Jaya Joran 2019 (PJ Joran) yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM20,000 pada Ahad ini.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain berkata, ia merupakan salah satu acara yang dimasukkan ke dalam aktiviti ‘PJ Car Free Day’ yang diadakan sebanyak lima kali setahun.
Katanya, pada pertandingan itu, hadiah RM5,000 dan piala menanti juara, RM2,000 (naib juara) dan RM1,000 (ketiga) manakala tempat keempat hingga 50 akan menerima hadian antara RM70 hingga RM400.
“Ia merupakan salah satu aktiviti sihat yang kita anjurkan berkonsepkan kekeluargaan selain mempromosikan Taman Tasik Bandaran kelana Jaya sebagai destinasi beriadah.
“Sebanyak dua tasik akan dibuka untuk keselesaan para peserta. Banyak aktiviti sihat boleh dijalankan di taman-taman rekreasi dan pertandingan memancing adalah salah satu yang boleh dilaksanakan,” ujarnya.
Terdahulu, beliau hadir pada majlis pelepasan ikan spesis patin seberat antara empat hingga lapan kilogram di Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya di sini hari ini.
Tambahnya, antara spesies ikan yang sedia ada di dalam tasik itu ialah patin, toman, haruan, rho, kap, belida, keli dan tilapia.
Menurut Mohd. Azizi, setiap peserta akan dikenakan yuran sebanyak RM40 untuk satu joran dua mata kail manakala orang kelainan upaya separuh bayaran. Pendaftaran dibuka mulai Sabtu ini.
“Kita turut mengadakan cabutan bertuah untuk peserta yang menawarkan televisyen 32 inci sebagai hadiah utama,” katanya.
Mereka yang berminat boleh melayari laman sosial facebook.com/jorankl atau menghubungi urus setia di talian 013-266 7011, 013-305 2811 atau 012-284 6811 untuk maklumat lanjut. – K! ONLINE










