KUALA LUMPUR 6 Mac – Ikan patin bersaiz antara empat hingga lapan kilogram (kg) menjadi antara spesies buruan kaki pancing dalam Pertandingan Memancing Petaling Jaya Joran 2019 (PJ Joran 2019), Ahad ini.
Selain patin, antara spesies lain yang dilepaskan di Taman Tasik Bandaran, Kelana Jaya, dekat sini termasuk toman, haruan, rho, kap, belida, keli dan tilapia.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain berkata, pertandingan memancing kali keempat anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu dijangka menarik lebih 900 pemancing untuk merebut pelbagai hadiah menarik.
“Juara pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 bersama piala manakala hadiah naib juara sebanyak RM2,000 dan tempat ketiga RM1,000.
“Pemenang tempat keempat akan menerima RM400 manakala tempat kelima hingga ke-10 pula RM200 seorang, tempat ke-11 hingga ke-20 (RM150), tempat ke-21 hingga ke-30 (RM100) dan tempat ke-31 hingga ke-50 (RM70),” katanya.
Mohd. Azizi berkata, beliau berharap penyertaan tahun ini akan mengatasi penganjuran tahun lalu sebagai usaha pihaknya mempromosikan Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya sebagai destinasi riadah.
“Pertandingan ini juga bertujuan memperkenalkan taman-taman tasik rekreasi untuk dimanfaatkan oleh warga Petaling Jaya sebagai tempat riadah berkeluarga,” katanya.
Tambahnya, pada tahun MBPJ turut menawarkan yuran serendah RM20 kepada peserta golongan orang kurang upaya berbanding RM40 untuk peserta biasa.
“Pendaftaran boleh dibuat Sabtu ini bermula dari pukul 1 petang hingga 10 malam. Pendaftaran juga dibuka bermula pukul 6.30 pagi hingga pertandingan bermula.
“Antara penaja utama penganjuran kali ini adalah syarikat Oyoshi Green Tea dan Igloo,” katanya.
Katanya, sebanyak 500 helai baju T akan diedar secara percuma kepada peserta terawal selain peluang memenangi hadiah cabutan bertuah televisyen (TV) bersaiz 32 inci dan produk memancing.
Maklumat lanjut boleh diperolehi dari laman sosial facebook.com/jorankl atau hubungi urussetia di talian 013-266 7011, 013-305 2811 atau 012-284 6811. – UTUSAN ONLINE











