PH tidak gentar gabungan Pas dan UMNO - Mahathir - Utusan Malaysia

PH tidak gentar gabungan Pas dan UMNO – Mahathir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak gentar melihat gabungan Pas dengan UMNO kerana ia memberi banyak isu dan peluang dalam mendedahkan kedua-dua parti bahawa pembohongan telah menjadi wajib bagi mereka.

Perdana Menteri berkata, gabungan itu agak menarik kerana asas perpecahan dan penubuhan Pas dahulu belum selesai.

“Ulama UMNO keluar parti untuk menubuh Pas kononnya kerana Islam. Lagipun semasa kepimpinan UMNO yang lepas, salah satu sebab penggabungan bahkan kerjasama UMNO dan Pas tidak berlaku adalah kerana Pas telah mengkafirkan UMNO,” katanya menerusi catatan di blog rasminya, chedet.cc malam ini.

Mahathir, yang juga Pengerusi PH berkata, antara faktor lain, Pas juga tidak mahu bekerjasama dengan UMNO pada masa dahulu kerana UMNO mengamalkan perlembagaan yang dituduh sekular dan kafir.

“Pas tidak pernah menarik balik “fatwa” tersebut. Sudahkah Pas Islamkan UMNO?,” soal Mahathir.

“Ini adalah di antara asas ‘Amanat Haji Hadi’ yang membawa kepada sembahyang dua imam, tidak mahu makan sembelihan orang UMNO, jenazah perlu disembahyangkan semula oleh orang Pas jika sebelumnya disembahyangkan oleh orang UMNO, mengharamkan anak mengahwini anak orang UMNO, mengharamkan isteri mengundi UMNO dan jika dilakukan akan gugur talak dan bermacam-macam lagi,” katanya. – Bernama
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×