KOTA BHARU 4 Mac – Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengambil mudah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, kata Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Beliau berkata, PH bakal berdepan saingan daripada UMNO memandangkan kawasan itu diwakili bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, yang juga Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Kami tidak akan ambil mudah tambah-tambah lagi apabila seorang bekas Menteri Besar bakal bertanding di situ. Kita akan lakukan yang terbaik.
“Dalam beberapa hari lagi (akan) ada perbincangan lebih teliti (pimpinan PH) untuk persiapan PRK DUN Rantau,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Muhammad V ke-49 bagi kali Ke-2 yang berlangsung di Istana Balai Besar di sini, hari ini.
Majlis pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang, Pingat dan Surat Kepujian kepada 393 penerima itu disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra.
Terdahulu, Mukhriz turut dianugerahkan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.J.M.K) yang membawa gelaran Datuk.
PRK DUN Rantau diadakan berikutan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya di Seremban pada 16 Nov lepas yang mengisytiharkan kemenangan Mohamad bagi kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lepas adalah tidak sah dan terbatal.
Bagaimanapun, Mohamad gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada 18 Feb lepas untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya itu.
Mohamad memenangi kerusi itu tanpa bertanding pada hari penamaan calon pada 28 April selepas calon PKR, Dr S. Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana beliau tidak memiliki pas dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). – BERNAMA










