PH tidak akan ambil mudah PRK Rantau - Utusan Malaysia

PH tidak akan ambil mudah PRK Rantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 4 Mac – Pakatan Harapan (PH) tidak akan sesekali mengambil mudah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang bakal diadakan nanti.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, DUN Rantau adalah kawasan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang sudah tentu akan menjadi calon Barisan Nasional (BN) di situ.

Dalam masa sama, katanya, PH akan diwakili oleh calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan perbincangan teliti mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.

“Saya tidak terlibat secara langsung tetapi dalam masa beberapa hari lagi kita akan membuat perbincangan dan perjumpaan dengan teliti bagi persiapan DUN Rantau.

“Calon (kita) semestinya datang dari PKR, kami tidak akan ambil mudah sebab bekas Menteri Besar bakal menjadi calon (BN) di situ,” katanya selepas Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan 2018 Kali Kedua sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Muhammad V Ke 49 di Istana Balai Besar di sini hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada faktor calon menjadi sebab kekalahan PH di PRK DUN Semenyih yang lalu, Mukhriz berkata, terdapat banyak faktor lain yang turut menjadi punca termasuklah isu nasional  seperti manifesto yang belum ditunaikan.

Bagaimanapun, Mukhriz berkata, pihaknya menerima keputusan rakyat dan menganggap rakyat tidak pernah silap dalam membuat pemilihan.

“Kita ambil iktibar daripada keputusan tersebut, banyak faktor menyumbang kepada kekalahan bukan hanya calon sahaja, pada hemat kami, kami sudah buat yang terbaik termasuklah pemilihan calon.

“Banyak perkara perlu kami perhatikan dengan lebih teliti yang sehingga menyebabkan rakyat kurang yakin dengan PH, jika ada salah silap kami mohon maaf, pada waktu yang sama mesej yang disampaikan oleh rakyat akan diperhalusi dan dibincangkan untuk tambahbaik,”katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN