Pesara rugi RM8,000 diperdaya ‘bebaskan’ anak daripada tahanan JKDM - Utusan Malaysia

Pesara rugi RM8,000 diperdaya ‘bebaskan’ anak daripada tahanan JKDM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 30 Mac – Seorang pesara kerugian RM8,000 selepas ditipu seorang lelaki dalam urusan mengeluarkan anaknya yang ditahan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ekoran kes penyeludupam rokok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, pada 25 Mac lalu, anak pesara itu ditahan JKDM bersabit kes berkenaan.

Katanya, rakan mangsa memperkenalkan seorang lelaki yang menyatakan mengenali ‘orang dalam’ di JKDM dan boleh membantu mengeluarkan anak pesara itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Lelaki berkenaan meminta mangsa menyediakan wang berjumlah RM8,000 untuk membebaskan anaknya dan pada 26 Mac lalu, mangsa berjumpa dengan lelaki berkenaan di sebuah kedai makan dan menyerahkan wang tunai berjumlah RM4,000.

“Lelaki itu menyatakan akan menguruskan proses berkenaan dan baki pembayaran perlu dibuat pada keesokkannya. Pada 27 Mac lalu mangsa telah menyerahkan baki RM4,000 kepada lelaki tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, selepas selesai membuat pembayaran, lelaki tersebut meminta mangsa menunggu dan memaklumkan proses mengeluarkan anak pesara itu akan disiapkan dalam lebih kurang 30 minit.

“Lelaki itu kemudian masuk ke bangunan JKDM dan selepas 30 minit mangsa beserta rakannya menghubungi lelaki itu namun gagal. Apabila mangsa membuat semakan dalam buku daftar pelawat mendapati nama lelaki itu tiada,” katanya.

Menurutnya, pesara itu membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) setelah berasa dirinya ditipu lelaki berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang mana boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini