Pesara guru tidak pulang ke rumah dikhuatiri hilang - Utusan Malaysia

Pesara guru tidak pulang ke rumah dikhuatiri hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU – Seorang lelaki warga emas dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke rumahnya di Hilir Sungai Burung di sini sejak kelmarin.

Lelaki itu yang merupakan pesara guru, Yahaya Mohamed, 80, dilaporkan tidak kembali ke rumah oleh anak perempuannya sejak keluar kira-kira pukul 7 petang.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. A. Anbalagan berkata, lelaki itu didakwa keluar bersendirian dengan menaiki kereta jenis Perodua Kancil berwarna perak.

“Dia memberitahu mahu keluar untuk menghantar lebihan nasi sebagai makanan ayam ke rumah seseorang yang dikenali sebagai Kak Teh di Kampung Terang.

“Bagaimanapun, sehingga ke hari ini dia dikatakan belum pulang dan anaknya bimbang mengenai keadaan ayahnya itu kerana sudah berusia dan penglihatannya kabur,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Anbalagan berkata, usaha anaknya mencari di rumah Kak Teh gagal apabila wanita itu memberitahu bahawa bekas guru di Sekolah Kebangsaan Teluk Kumbar tersebut tidak pergi ke rumahnya.

“Anaknya percaya bahawa lelaki itu tidak pergi jauh memandangkan kereta yang digunakan agak uzur.

“Dia juga dikatakan mempunyai penyakit pelupa dan kadang kala tidak tahu jalan pulang apabila terpaksa bergantung kepada isterinya sebagai penunjuk arah,” katanya lagi.

Anbalagan berkata, usaha mengesan lelaki berkenaan sedang dijalankan dan pihaknya memohon kerjasama orang ramai bagi menghubungi Inspektor Shahrul di talian 017-4174 173 atau Sarjan Shahrin (012-4791 430). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN