Perundingan tahunan pemimpin Malaysia-Brunei di Putrajaya esok - Utusan Malaysia

Perundingan tahunan pemimpin Malaysia-Brunei di Putrajaya esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 4 Mac – Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah, dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan pertemuan sulung di bawah rangka kerja Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei di sini esok.

Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei, platform tertinggi untuk membincangkan pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa membabitkan kepentingan bersama, akan diadakan bagi siri ke-22.

Perundingan ke-21 diadakan di Bandar Seri Begawan pada 23 Nov 2017.

Wisma Putra, dalam kenyataan hari ini, berkata hubungan istimewa antara kedua-dua negara wujud berasaskan persamaan warisan dan budaya.

“Berasaskan kepada hubungan istimewa ini, kedua-dua pemimpin akan mengambil peluang daripada lawatan dan pertemuan tahunan yang penting ini untuk menilai kemajuan kerjasama yang sedang terjalin dan meneroka potensi baharu bagi perkongsian lebih menyeluruh yang dapat memberi manfaat kepada rakyat di kedua-dua negara,” katanya.

Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, dijadual menganjurkan majlis jamuan tengah hari untuk meraikan Sultan Hassanal Bolkiah.

Dr Mahathir dan Sultan Hassanal Bolkiah bertukar-tukar lawatan pada Mei dan September tahun lepas, susulan pelantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri Malaysia ketujuh.

Malaysia adalah pelabur utama di Brunei Darussalam daripada rantau ASEAN, dengan Pelaburan Langsung Asing (FDI) berjumlah US$486.74 juta pada 2017 atau hampir 90.9 peratus keseluruhan FDI berjumlah US$535.27 juta daripada negara anggota ASEAN yang lain ke Brunei Darussalam.

Dagangan antara Malaysia dan Brunei Darussalam berjumlah US$981.2 juta pada 2018. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN