PUTRAJAYA 11 Mac – Seluruh rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas tanpa mengira latar belakang boleh menghantar logo Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 cetusan idea dan ciptaan masing-masing bermula hari ini sehingga 24 Mac.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam kenyataan memaklumkan, setiap peserta hanya boleh menghantar satu penyertaan dan ia adalah percuma.
Menurut kenyataan itu, setiap rekaan logo harus mempunyai identiti seni budaya masyarakat Malaysia disamping juga diselitkan logo Malaysia Truly Asia.
“Selain itu, setiap penyertaan hendaklah mempunyai reka bentuk logo dan rasional yang menonjolkan kepelbagaian produk-produk ekopelancongan yang menarik di Malaysia.
“Rekaan logo perlu menggunakan perkataan bahasa Inggeris kerana melibatkan pasaran antarabangsa manakala rasional logo pula hendaklah dikemukakan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris,” jelas kenyataan itu di sini hari ini.
Jelas kenyataan itu lagi, selain sijil, rakyat Malaysia berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 hingga RM3,000 disediakan untuk tiga penyertaan terbaik serta RM250 masing-masing bagi lima pemenang sagu hati.
Untuk maklumat mengenai pertandingan, orang ramai boleh melayari web www.tourism.gov.my/, www.malaysia.travel dan www.motac.gov.my atau hubungi talian 1300885050.
Pertandingan mencipta logo kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 diadakan bersempena tahun melawat negara ini bagi mempromosiskan pelancongan, keunikan kebudayaan dan kesenian terdapat di Malaysia. – UTUSAN ONLINE











