KOTA BHARU 31 Mac – Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Zainab, di sini mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penyertaan terbesar bagi Pertandingan E-Matematik Terbuka Peringkat Antarabangsa, hari ini.
Program cetusan idea alumni sekolah itu berjaya menarik 2,824 peserta terdiri daripada pelajar sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti dari seluruh negara termasuk Thailand dan Bangladesh.
Timbalan Pengarah Pendidikan negeri Abdullah Mat berkata, pertandingan itu diadakan untuk menguji minda pelajar dalam ilmu matematik menerusi pertandingan yang besar.
“Kita harap melalui pendekatan yang menggunakan teknologi sebegini akan melahirkan pelajar yang kreatif dan mengunakan teknologi yang ada dengan cara yang betul.

“Aktiviti ini juga sekali gus dapat menyahut saranan Kementerian Pendidikan yang mahu menggalakkan program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar,” katanya kepada pemberita di SMK Zainab, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengetua SMK Zainab, Siti Hawa Muhamad dan Presiden Persatuan Alumni Sekolah Menengah Zainab (SEMENZA), Prof Dr Nik Maheran Nik Muhamad.

Siti Hawa menerima sijil pengiktirafan itu daripada wakil MBOR, Siti Hajar Johar.
Abdullah berkata, pertandingan itu menggunakan sepenuhnya aplikasi dalam talian dan peserta dikehendaki menjawab sebanyak 15 soalan kuiz berpiawai antarabangsa dengan telefon pintar masing-masing dalam masa 30 minit. – UTUSAN ONLINE











