KOTA BHARU – Pertandingan e-Matematik Terbuka Peringkat Antarabangsa pada 31 Mac ini bakal mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Record (MBOR) dengan penyertaan terbesar.
Presiden Persatuan Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab (Semenza), Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, pertandingan berkenaan melibatkan seramai 2,000 penyertaan daripada 50 buah sekolah rendah, menengah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara.
Katanya, pertandingan ini bukan sahaja membabitkan pelajar tempatan malah turut melibatkan pelajar antarabangsa dari Syria, Vietnam, Thailand, Myanmar dan Bangladesh.
“Pertandingan ini akan mengguna aplikasi dalam talian sepenuhnya melalui laman sesawang http://gg.gg/emath_Registration di mana peserta perlu menjawab 15 soalan dalam tempoh 30 minit.
“Pertandingan ini akan berlangsung di padang sekolah SMK Zainab dan setiap peserta akan menjawab soalan dengan menggunakan telefon pintar masing-masing,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Nik Maheran berkata, penyertaan untuk pertandingan ini masih lagi dibuka kepada sesiapa sahaja yang berminat dengan mendaftar secara dalam talian atau mendapatkan borang di SMK Zainab.
“Untuk pertandingan ini, semua soalan telah digubal oleh lima orang pensyarah dari Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Teknologi Mara UiTM Machang.
“Peserta akan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu sekolah rendah, menengah dan dewasa,” katanya.
Tambah beliau, pertandingan sebegini dianjurkan bertujuan untuk memartabatkan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan, sastera dan matematik (STEAM) selaras dengan hasrat kerajaan.
Dalam pada itu, Nik Maheran berkata, Semenza juga akan menganjurkan Majlis Makan Malam Amal pada 23 Mac ini bagi mengutip dana untuk pertandingan tersebut.
“Majlis Makan Malam Amal ini juga bertujuan untuk mengumpulkan semua alumni SMK Zainab sejak tahun 1965 sehingga 2018.
“Lebih istimewa, majlis ini juga akan dihadiri oleh Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid yang juga alumni SMK Zainab,” katanya. – K! ONLINE










